Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Tembok lindungi hutan terancam di Ivory Coast

    ABIDJAN – Membantu membina sekatan di sekeliling hutan di tengah Ivory Coast, Abidjan, Victor berasa gembira dapat melindungi ruang hijau yang terancam itu daripada bandar yang berkembang pesat.

    “Kami mempunyai Tembok Besar China kami sendiri,” kata pekerja pembinaan itu dengan perasaan bangga.

    Dalam tempoh tiga bulan, pagar blok kayu rentung sepanjang 10 kilometer akan didirikan di pinggir Taman Negara Banco untuk menghalangnya daripada ditelan daerah berdekatan.

    Selain taman Tijuca di Rio de Janeiro, Brazil, hutan simpanan itu merupakan satu daripada dua hutan asli di seluruh dunia yang telah bertahan di tengah sebuah metropolis.

    Pakar ekologi Ivory, Tom Thalmas Lasme berkata tembok itu penting di sebuah negara yang telah kehilangan sebahagian besar hutan dalam tempoh separuh abad lalu.

    Pekerja membina tembok perlindungan untuk Taman Negara Banco di Abidjan. – AFP
    Pemandangan umum menunjukkan papan tanda untuk perlindungan Taman Negara Banco di Abidjan. – AFP
    Pemandangan umum Taman Negara Banco (kanan) dipisahkan daripada kawasan perumahan oleh tembok di Yopougon di Abidjan. – AFP
    Kanak-kanak bermain bola sepak di salah satu pintu masuk ke Taman Negara Banco. – AFP

    Hutan simpanan dengan keluasan 3,474 hektar itu menjadi tempat habitat kepada ‘kira-kira 30 spesies flora yang berisiko pupus di Afrika Barat,’ katanya.

    Namun ‘dalam masa enam tahun, ledakan demografi dan keadaan melambung dalam pembinaan sembarangan dan tidak teratur telah menghakis’ kawasan pinggirnya.

    Mereka yang tinggal di kawasan miskin sepanjang sempadannya sering menyelinap masuk menebang pokok untuk dijadikan kayu api atau memburu fauna di hutan untuk dimakan, menurut penduduk tempatan.

    Dan pemandu kenderaan yang memecut di lebuh raya di pinggir kawasan barat juga terkenal dengan sikap suka membinasakan taman tersebut, kata penduduk tempatan.

    Berlakunya ‘beberapa kebakaran hutan berpunca daripada pemandu kereta yang membuang puntung rokok di kawasan hutan,’ kata Roger Manet, 58, yang tinggal berdekatan.

    Ivory Coast telah kehilangan sehingga 80 peratus daripada hutan semula jadinya dalam masa 50 tahun sahaja disebabkan pertanian, kebakaran belukar, eksploitasi hutan secara haram serta perlombongan, kata Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa.

    Daripada tiga juta hektar hutan yang telah tinggal dalam negara, dua juta telah ditetapkan sebagai 14 hutan semula jadi simpanan berasingan, menurut Pejabat untuk Taman dan Hutan Simpanan Ivory (OIPR).

    Setiap tahun, 300,000 hektar lagi pokok-pokok lenyap, katanya.

    OIPR berkata ia sedang membina sekatan di sekitar sempadan barat dan utara hutan Abidjan dengan pembiayaan kerajaan dan Jepun untuk membantu menghentikan pembinasaan yang berlaku.

    “Hutan Banco menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen yang penting untuk enam juta penduduk Abidjan,” kata ketua pejabat Adama Tondossama.

    “Kami telah mendirikan tembok konkrit ini untuk mengelak hutan tropika hijau ini daripada lenyap disebabkan pembasmian hutan.”

    Fousseni Coulibaly, leftenan kolonel yang bertanggungjawab ke atas taman itu, berkata usaha memulihara hutan simpanan juga membantu mengawal hujan yang turun dan memulihkan simpanan air bawah tanah yang menyalurkan bandar berhampiran dengan air minuman.

    Sesetengah penduduk berkata ia juga mungkin membantu merangsang keselamatan di sebuah kawasan yang bersempadan dengan penjara terbesar negara.

    Kos penyelenggaraan taman Banco berjumlah AS$335,000 setahun, kata pengarah OIPR Tondossama, pembiayaan asas ‘untuk memeliharanya demi generasi akan datang.’

    Beliau berharap usaha pemuliharaan itu, termasuk tembok baharu, akan mendorong lebih ramai pelancong meninjau hutan simpanan semula jadi itu dan bersantai di lorong berbasikal sepanjang 80 kilometer.

    Laurent Pigagnon, seorang pelancong dari Mauritius, telah pun berasa teruja.

    “Ia merupakan kali pertama saya melawat hutan yang terletak amat dekat dengan bandar,” katanya.

    “Seronok rasanya dapat melepaskan diri daripada pusat bandar yang bising, memasuki hutan dan menikmati keindahan alam semula jadi.”

    Issiaka kamate, seorang warga Ivory yang juga keluar berjalan-jalan di hutan, berkata usaha memelihara taman adalah penting untuk mengekalkan keadaan hidup yang sihat dalam hab ekonomi.

    “Tanpanya, kami akan mempunyai ramai orang sakit di Abidjan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...