Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Orang ramai tidak lama lagi akan dapat membuat tempahan perkhidmatan teksi di negara ini dengan hanya menggunakan aplikasi peranti mudah alih di mana ia merupakan satu lagi usaha untuk menawarkan perkhidmatan teksi negara yang lebih efisien dan mesra pengguna.
Aplikasi mudah alih tempahan teksi itu akan dimajukan oleh syarikat pemaju aplikasi tempatan dengan harapan memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menempah perkhidmatan teksi sama seperti di negara-negara lain.
Perancangan terdekat Kementerian Perhubungan itu dikongsi oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat kepada pihak media selepas melancarkan Bas Ekspres Lintas Batas Brunei Sarawak Pontianak yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
Beliau berkata, aplikasi itu sedang dilaksanakan pada masa ini oleh pemaju aplikasi tempatan di mana ia mengambil kira akan pasaran teksi tempatan yang terhad serta untuk membuka peluang-peluang perniagaan bagi pengusaha-pengusaha aplikasi tempatan.
Pengenalan aplikasi itu merupakan salah satu perancangan dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan teksi negara serta sebahagian daripada projek transformasi sistem pengangkutan awam Negara Brunei Darussalam terutama perkhidmatan bas awam dan teksi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa, ketika mengulas mengenai dengan perkhidmatan teksi bermeter yang dilancarkan tidak lama dahulu, berkata bahawa ia mendapat respons yang positif daripada orang ramai.
Pada masa yang sama, menurutnya lagi, semua pemandu teksi telah memberikan kerjasama mereka untuk memastikan bahawa perkhidmatan teksi di negara ini adalah yang terbaik dengan penekanan kepada penjagaan imej negara, berasaskan kepada budaya Brunei, MIB serta mengutamakan keselamatan dan keyakinan penumpang-penumpang terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada mereka.
Perkara itu, jelasnya, adalah amat penting kerana kita melihat bahawa pemandu teksi dan pemandu bas berkenaan merupakan satu kerjaya yang boleh diterokai serta membuka peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat dan penduduk di negara ini.
“Oleh itu, kita berusaha untuk menjadikan perkhidmatan teksi itu supaya ia lebih menyerlah dan supaya pelancong-pelancong akan merasa selamat serta yakin kepada perkhidmatan teksi di mana isu pengangkut di negara ini tidak akan menjadi satu isu lagi bagi mereka apabila mereka datang ke negara ini.”