Tempahan awal diutamakan terima vaksin

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Berikutan penerimaan 100,000 dos vaksin Sinopharm dari kerajaan Republik Rakyat China, keutamaan pemberian vaksin itu adalah kepada mereka yang telah membuat tempahan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, orang ramai disarankan untuk memeriksa aplikasi BruHealth bagi memastikan slot tempahan vaksinasi mereka, ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika mengulas mengenainya semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menambah, meskipun keutamaan diberikan bagi mereka yang telah membuat tempahan awal untuk suntikan vaksinasi dos pertama namun beberapa slot baharu juga disediakan bagi mereka yang belum membuat tempahan.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato berharap agar orang ramai dapat bersabar dalam tempoh beberapa hari ini sebelum program vaksinasi dapat kembali dijalankan.