Tempahan baju raya mulai ditutup

KULIM, 14 April – ‘Baju raya’ merupakan salah satu perkara ‘wajib’ atau penting, setiap kali dalam menyambut perayaan Aidilfitri dan bagi sesetengah orang mungkin suka menempahnya awal, dan ada juga yang suka membuat persiapan di saat-saat akhir.

Namun, jika ada yang berhasrat menempah pakaian itu di daerah Kulim sekarang ini, mungkin perlu berusaha lebih untuk mencari kedai-kedai jahit yang mahu menerima tempahan, kerana tinjauan Bernama di beberapa kedai jahit di daerah ini, mendapati mereka sudah mula tidak menerima tempahan baju raya, walaupun sambutan perayaan itu dianggap masih lama lagi.

Seorang pemilik kedai jahitan di sini Salmah Abd Ghani, 44, berkata beliau sudah berhenti menerima tempahan daripada pelanggan kira-kira sejak seminggu lalu, dan kini hanya menumpukan untuk menyiapkan tempahan yang telah diterima sebelum itu.

“Saya buka tempahan untuk baju raya sejak awal tahun ini, dan tempahan dihentikan selewatnya 60 hari sebelum menjelang hari lebaran, kalau lambat daripada itu saya tidak akan ambil lagi. –Bernama