Tempahan industri Jerman cecah tahap tertinggi

FRANKFURT, 6 SEPT – Tempahan industri Jerman meningkat kepada rekod tertinggi pada Julai, demikian menurut data rasmi yang disiarkan hari ini, ketika ekonomi meneruskan pemulihan kukuh daripada pandemik koronavirus.

Penunjuk tempahan meningkat 3.4 peratus berbanding bulan sebelumnya untuk mencecah ‘tahap tertinggi sejak permulaan siri pada awal 1991’, apabila penunjuk industri bermula selepas penyatuan semula Jerman, menurut agensi statistik persekutuan Destatis.

Tempahan meningkat 24.4 peratus berbanding Julai tahun lalu, apabila kesan penutupan berkaitan pandemik masih terkesan teruk.

Berbanding dengan Februari 2020, bulan sebelum sekatan pandemik dikenakan di seluruh Jerman, tempatan meningkat sebanyak 15.7 peratus, menurut agensi.

Tahap tinggi sebelumnya telah dicatat pada Disember 2017, sebelum pandemik.

Peningkatan dalam penunjuk adalah didorong oleh tempahan dari luar negara. Ia meningkat 8 peratus berbanding bulan sebelumnya, sementara tempahan domestik merosot sebanyak 2.5 peratus.

Rekod itu dicatat meskipun mengalami kekurangan komponen, seperti semikonduktor, kayu balak dan plastik di seluruh dunia, justeru mengehadkan pengeluaran dalam sektor utama untuk ekonomi Jerman.

Pengeluar kereta termasuk Volkswagen telah mengurangkan pe-ngeluaran kenderaan mereka sebagai respons kepada bekalan cip komputer yang terhad, komponen penting dalam pembuatan kenderaan konvensional dan elektrik. – AFP

Pengurus Volkswagen Ralf Brandstaetter bergambar bersebelahan kereta elektrik oleh Volkswagen semasa previu media di Pameran Kereta Antarabangsa kelmarin di Munich, Jerman. Tempahan industri Jerman meningkat kepada rekod tinggi pada Julai, demikian menurut data rasmi yang disiarkan kelmarin.- AFP