Tempat perbicaraan penasihat Aung San Suu Kyi dipindah

BANGKOK, 14 SEPT – Sebuah mahkamah di Myanmar telah bersetuju untuk menukar tempat bagi perbicaraan seorang pakar ekonomi Australia dan penasihat pemimpin Myanmar yang disingkirkan, Aung San Suu Kyi, atas dakwaan-dakwaan melanggar undang-undang rahsia rasmi negara itu, peguam-peguam berkata, hari ini.

Sean Turnell didakwa bersama Suu Kyi dan tiga bekas menteri kabinet di bawah undang-undang itu pada Mac lalu, sebulan selepas tentera menggulingkan kerajaan Suu Kyi yang dipilih rakyat dan merampas kuasa.

Keputusan oleh Mahkamah Tinggi negara itu akan memindahkan perbicaraan dari Yangon, bandar terbesar Myanmar di mana Turnell ditahan, ke ibu negara Naypyitaw, kata salah seorang peguam Suu Kyi, Kyi Win.

Pemindahan itu akan menyatukan kebanyakan kes-kes perundangan terhadap Suu Kyi di satu lokasi. Kes-kes berkenaan, dihadapkan atas arahan kerajaan yang dilantik oleh tentera, dilihat sebagai usaha untuk mencemarkan nama Suu Kyi dan menghalangnya daripada kembali kepada politik.

Mencabuli undang-undang rahsia rasmi membawa hukuman maksimum 14 tahun penjara. Undang-undang era kolonial itu mengharamkan pemilikan, pengumpulan, rakaman, penerbitan atau berkongsi maklumat kerajaan yang secara langsung atau tidak langsung, berguna kepada musuh.

Butiran terperinci mengenai apa yang dikatakan kesalahan Turnell dan mereka yang lain tidak didedahkan kepada awam, bagaimanapun, televisyen kerajaan dengan memetik kenyataan kerajaan menyatakan bahawa ahli akademik Australia itu mempunyai akses kepada ‘maklumat rahsia mengenai kewangan kerajaan’ dan cuba lari dari negara itu.

Turnell ditahan di Penjara Insein Yangon, terkenal selama berdekad-dekad bagi menahan tahanan-tahanan politik. – AP

Gambar fail bertarikh 25 November 2005, diambil daripada video, menunjukkan Sean Turnell bercakap semasa temu bual di pejabat universitinya di Sydney. – AP