Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Dengan penutupan sepenuhnya bangunan letak kereta bertingkat yang menempatkan Terminal Bas Bandar Seri Begawan, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memaklumkan bahawa tempat perhentian-perhentian bas baharu akan mula beroperasi di kawasan Jalan Kianggeh dan Jalan McArthur bermula 9 Mei depan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, JPD menyatakan bahawa waktu operasi perkhidmatan bas-bas awam adalah setiap hari bermula pukul 6 pagi hingga 8 malam mengikut laluan-laluan yang ditetapkan.
Kemudahan perhentian bas awam yang baharu berkenaan adalah hanya untuk perkhidmatan mengambil (pick-up) dan menurunkan (drop-off) orang ramai.
Kenyataan tersebut menyatakan lanjut bahawa orang ramai turut diingatkan supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di perhentian-perhentian bas mengikut amalan-amalan terbaik iaitu hendaklah menggunakan laluan khusus bagi pejalan kaki semasa menyeberangi jalan raya terutama sekali semasa menuju ke perhentian bas, hendaklah mengamalkan sikap bertolak ansur semasa beratur menunggu bas, berhati-hati semasa naik atau turun dari bas dan memberikan keutamaan terlebih dahulu kepada penumpang yang lebih memerlukan serta hendaklah menjaga kebersihan persekitaran dan prasarana kemudahan perhentian bas dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, JPD juga menekankan kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani pengawalan penularan pandemik COVID-19.
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi JPD melalui talian 2451980 atau 7181641 (WhatsApp), Talian Darussalam 123, atau e-mel ke info_ltd@jpd.gov.bn. Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.jpd.gov.bn dan Instagram @jpd.bn.