Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tempat perlindungan kura-kura S’pura cuba untuk bertahan

    SINGAPURA – Beratus-ratus penyu dan kura-kura, termasuk spesis luar biasa dan terancam, berdepan masa depan yang tidak menentu selepas tempat perlindungannya di Singapura, pemegang Rekod Dunia Guinness, dipaksa berpindah disebabkan pelan pembangunan semula kerajaan.

    Pada jumlah kemuncak, kira-kira 1,000 haiwan ditempatkan di Muzium Penyu dan Kura-Kura Hidup, yang dibuka pada tahun 2001 di tempat pelancongan popular, Chinese Gardens. Ia juga mempamerkan spesimen dan memorabilia seperti patung dan barang mainan.

    Sementara usaha niaga itu mempunyai ramai pengikut setia, terdapat kritikan di dalam talian mengenai keadaan haiwan reptilia yang dikurung itu. Pihak berkuasa memutuskan untuk mengubah semula kawasan itu dan memindahnya – mencetuskan pemiliknya, Connie Tan bergegas untuk mencari dan membiayai satu lokasi baharu.

    “Saya banyak berkorban dan ia adalah sukar. Yuran pendidikan universiti anak lelaki saya telah digunakan untuk mengekalkan tempat ini,” jelas Tan, di mana bapanya menubuhkan muzium asal, mempertahankan Rekod Dunia Guinness untuk ‘koleksi barangan penyu dan kura-kura terbesar.’

    Beliau telah membelanjakan Sg$250,000 untuk tempat baharu itu tetapi hanya berupaya mendapatkan sewa dua tahun dan mengaku usaha niaga itu sedang kehabisan wang – satu situasi yang telah menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan jangka panjang untuk penyu dan kura-kura.

    Connie Tan bergambar dengan seekor kura-kura ‘sulcata.’ – AFP
    Sebuah kolam yang terdapat di Muzium Penyu dan Kura-Kura Hidup Singapura, yang dipenuhi dengan kura-kura jenis ‘red-eared sliders.’ – AFP
    Kanak-kanak sedang bermain dengan kura-kura jenis ‘red-eared sliders’ di Muzium Penyu dan Kura-Kura Hidup Singapura. – AFP

    Tan telah bergelut untuk meneruskan operasi muzium tersebut, malah mendapatkan bantuan daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong di media sosial apabila beliau memerlukan lebih banyak masa untuk mencari satu lokasi yang sesuai.

    Dalam tempoh perpindahan, beliau menutup perniagaan pengurusan acara untuk menempatkan penyu dan kura-kura di pejabatnya, meninggalkan beliau tanpa pendapatan buat sementara waktu.

    Hari ini, terdapat kira-kira 700 ekor penyu di tapak baharu di Yishun, satu kawasan perumahan yang jauh daripada pusat rekreasi dan pelancongan utama Singapura.

    Koleksi haiwan itu telah dikumpulkan oleh keluarga Tan selama lebih daripada 40 tahun. Kebanyakan haiwan reptilia itu merupakan haiwan peliharaan yang diselamatkan selepas para pemilik haiwan berkenaan meninggalkannya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda