Tempat riadah ditutup elak perkumpulan ramai

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Susulan gambar tular beberapa kawasan riadah yang dipenuhi orang ramai ketika negara masih lagi dihambat COVID-19, Pasukan Polis Diraja Brunei hari ini mengambil langkah tegas menutup beberapa kawasan riadah daripada kunjungan orang ramai.

Ini bagi memastikan arahan Kementerian Kesihatan untuk mengelak perkumpulan ramai dipatuhi selain mempraktikkan penjarakan sosial bagi membantu kerajaan menangani wabak itu dengan lebih efektif dan berkesan.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan, mematuhi saranan dan nasihat pihak kerajaan ini juga amatlah penting bagi memastikan rantaian penularan wabak ini ditamatkan dan terputus daripada merebak lebih jauh dalam kalangan orang ramai.

Walau bagaimanapun amat mendukacitakan, apabila masih terdapat segelintir orang yang masih memandang ringan dan remeh akan larangan-larangan kerajaan terhadap situasi yang dihadapi negara pada masa ini, menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, maklumat terkini mendapati perkumpulan ramai itu diadakan di suatu lokasi taman rekreasi.

PDB menegaskan sikap itu tidak bertanggungjawab dan sekali gus mencerminkan sikap tidak pemedulian terhadap usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam mengekang wabak COVID-19 ini.

PDB mengingatkan orang ramai bahawa sesiapa yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, jika sabit kesalahan, boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali (kesalahan pertama), manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, jika sabit kesalahan boleh membawa denda sehingga $20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Tempat duduk dan berkumpul di salah sebuah taman rekreasi ditutup dengan pita sekatan keselamatan bagi mengelakkan orang ramai membuat perkumpulan ramai. – Gambar serahan PDB
Pintu masuk ke salah sebuah kawasan riadah dan rekreasi turut ditutup kepada orang ramai. – Gambar serahan PDB