Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Tempoh pengibaran bendera berakhir

    Oleh Sim Y. H., Izah Azahari & Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Setelah berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan selama kira-kira sebulan, bendera besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara penuh beradat yang berlangsung di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76 bagi Tahun 2022 yang terdiri daripada setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pihak swasta.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan pasukan seramai 76 orang pembawa bendera bergerak masuk diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

    Kemudian, pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

    Setelah kira-kira sebulan berkibar megah di angkasa, bendera besar Negara Brunei Darussalam telah diturunkan dalam upacara penuh beradat yang berlangsung di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, menandakan berakhirnya Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76. – Gambar oleh Sim Y.H.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menerima bendera besar yang telah diturunkan pada upacara di ibu negara, kelmarin.
    Awang Ajmin menerima bendera besar yang telah diturunkan pada upacara di Daerah Tutong. – Gambar serahan Pejabat Daerah Tutong
    Anggota polis menyerahkan bendera besar kepada Awang Mohamad Yassin.
    Anggota Pasukan Polis Diraja Brunei melipat bendera besar Negara Brunei Darussalam selepas menurunkannya pada upacara di Daerah Temburong. – Gambar serahan Jabatan Penerangan

    Lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan, dinyanyikan oleh Kumpulan Koir diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

    Majlis diteruskan dengan upacara penurunan bendera besar yang kemudiannya diserahkan oleh pegawai pembawa bendera kepada Dato Seri Paduka Haji Matsatejo diikuti dengan bacaan Doa Selamat bagi penutup upacara berkenaan.

    Upacara serupa juga telah diadakan di setiap daerah di mana bagi Daerah Tutong, upacara telah berlangsung di Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong yang dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin.

    Di Daerah Belait pula, majlis diadakan di Menara Cendera Kenangan dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed.

    Sementara itu, di Daerah Temburong, upacara penurunan bendera berlangsung di kawasan Dermaga Pekan Bangar dihadiri tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Upacara penurunan bendera besar itu menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera peribadi bagi pengiran-pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran serta bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai termasuklah di bangunan-bangunan dan premis perniagaan sempena sambutan berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...