BANGKOK, 13 JULAI – Erik ten Hag berkata dia ‘berpuas hati’ dengan permulaan cemerlang selepas mengendalikan perlawanan pertama sebagai pengurus baharu Manchester United.
Namun pada masa sama menegaskan pasukannya sepatutnya tidak berasa terlalu selesa meskipun berjaya menewaskan Liverpool 4-0 dalam perlawanan persahabatan pramusim di Thailand kelmarin.
United memulakan perlawanan dengan aksi cemerlang ketika Liverpool menurunkan barisan pemain-pemain baharu dengan mendahului 3-0 pada se-paruh masa pertama menerusi jaringan Jadon Sancho, Fred dan Anthony Martial di Stadium Rajamangala Bangkok.
Kedua-dua pengurus banyak membuat pertukaran sepanjang 90 minit perlawanan. Barisan pemain Jurgen Klopp yang diturunkan pada separuh masa kedua membantu Liverpool mendominasi penguasaan bola sebelum Facundo Pellistri meraih gol keempat United di minit ke-14 sebelum tamat babak pertama.
Ia memberikan Ten Hag dan pasukan baharunya kemenangan yang dapat meningkatkan semangat dalam aksi pemanas badan pertama mereka menjelang kempen baharu Liga Perdana yang akan bermula pada bulan hadapan.
“Saya sangat berpuas hati hari ini,” kata Ten Hag, yang mengambil alih tampuk pengendalian di Old Trafford kurang dua bulan lalu.
“Pasukan ini mempunyai semangat juang yang hebat dan kami tahu perjalanan kami masih jauh lagi.
“Kami melakukan beberapa kesilapan dalam membuat serangan namun kami berjaya mencipta banyak peluang,” katanya. Pemain sayap England, Sancho membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 sejurus clearance lemah daripada Isaac Mabaya.
Kecekapan Fred pada minit ke-30 menerusi jaringan chip ke atas penjaga gol, Allison Becker telah memperdayakan pemain pertahanan Liverpool sekali gus meletakkan United dalam kedudukan lebih selesa.
Tidak lama kemudian, pemain terbaik perlawanan, Martial merembat kencang ke gawang Liverpool bagi melengkapkan kemenangan bergaya United 4-0. – AFP