Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Ten Hag hadiri perlawanan terakhir Man United

    LONDON, 20 MEI – Pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan telah tiba di England dan bersedia untuk menghadiri perlawanan terakhir kelab itu dalam musim Liga Perdana, menurut beberapa laporan media Britain.

    United akan menamatkan kempen yang mengecewakan menentang Crystal Palace pada Ahad nanti, dalam perlawanan terakhir pengurus sementara, Ralf Rangnick.

    Ten Hag akan mula bertugas secara rasmi sebagai pengurus United pada hari berikutnya tetapi agensi berita PA Britain berkata, pengurus Belanda berusia 52 tahun itu sudah tiba di UK dan akan berada di sana untuk menyaksikan pasukan baharunya menentang Palace.

    Perlawanan Selhurst Park akan menyaksikan United, yang kini berada di tangga keenam dalam carta Liga Perdana, cuba untuk memastikan kelayakan ke Liga Europa dan mengelak daripada jatuh ke peringkat ketiga Liga Persidangan Europa.

    Ia juga akan menjadi penampilan terakhir United bagi beberapa pemain yang akan meninggalkan Red Devils, termasuk pemain pertahanan tengah, Nemanja Matic.

    United menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana dan mara ke final Liga Europa musim lalu.

    Namun demikian, selepas permulaan yang kurang memberangsangkan pada musim ini, mereka mengalami kemerosotan yang membawa kepada penyingkiran pengurus Ole Gunnar Solskjaer dengan Rangnick tidak dapat mengubah keadaan pasukan tersebut. – AFP

    Erik ten Hag akan menjadi pengurus baharu Manchester United musim hadapan. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...