AMSTERDAM, 12 MEI – Ajax merangkul kejuaraan Liga Eredivisie Belanda kali kedua berturut-turut selepas membelasah Heerenveen 5-0 di Arena Amsterdam kelmarin.
Mahkota liga ke-36 kelab itu adalah pencapaian cemerlang bagi jurulatih yang akan bersara Erik ten Hag, yang bakal menamatkan tugas lima tahunnya sebagai pengurus pada penghujung musim untuk menjadi pengurus Manchester United.
Ajax mendahului empat mata di atas pasukan tangga kedua PSV Eindhoven, yang menewaskan Nijmegen 3-2, dengan baki satu perlawanan.
PSV terlepas peluang mengurangkan jurang mata hujung minggu lalu apabila mereka melepaskan dua gol lewat permainan ketika meraih keputusan seri 2-2 di Feyenoord.
Nicolas Tagliafico dan Steven Berghuis melenyapkan sebarang kebimbangan peminat tuan rumah apabila berjaya mencetak dua gol pendahuluan.
Sebastien Haller, penjaring terbanyak liga, memanfaatkan peluang sepakan penalti sebelum separuh masa untuk menjaringkan gol ke-34 dalam semua pertandingan musim ini.
Brian Brobbey dan Edson Alvarez melengkapkan aksi cemerlang Ajax selepas masing-masing menjaringkan gol lewat permainan menjadikaAn perlawanan terakhir Ten Hag di tempat sendiri berakhir dengan kegembiraan. – AFP
