MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 21 APRIL – Erik Ten Hag akan meninggalkan pasukan Ajax untuk menjadi pengurus Manchester United pada musim hadapan, pasukan Inggeris itu mengesahkannya pada hari ini.
Pengurus berusia 52 tahun itu, yang telah menandatangani kontrak selama tiga tahun, berdepan tugas besar untuk memulihkan nasib pasukan Red Devils selepas musim tanpa trofi kelima berturut-turut.
Pengurus Belanda tersebut menjadi pengurus tetap kelima di Old Trafford sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013 menyebabkan prestasi juara Inggeris 20 kali itu merosot.
Ten Hag berada di landasan tepat untuk memenangi kejuaraan liga ketiganya bersama Ajax dan membawa juara Eropah empat kali itu ke separuh akhir Liga Juara-juara pada 2019 buat kali pertama dalam 22 tahun.
“Adalah satu penghormatan untuk dilantik sebagai pengurus Manchester United dan saya amat teruja dengan cabaran yang akan datang,” kata Ten Hag.
“Saya tahu sejarah kelab hebat ini dan semangat daripada penyokongnya, dan saya benar-benar berazam untuk membina pasukan yang mampu memberikan kejayaan yang sepatutnya.
“Adalah sukar untuk meninggalkan Ajax selepas tahun-tahun yang luar biasa ini dan saya boleh memberi jaminan kepada penyokong kami tentang komitmen penuh saya serta fokus untuk membawa musim dengan meraih kejayaan sebelum saya berpindah ke Manchester United,” kata Ten Hag.
United menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana, 23 mata di belakang pasukan pendahulu, Manchester City dan tidak mungkin layak ke Liga Juara-juara pada musim depan.
Kelab tersebut mencari pengurus tetap sejak Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada Oktober lalu. – AFP