MANCHESTER, 5 OGOS – Perlawanan kompetitif pertama Erik ten Hag sebagai pengurus pada Ahad ini sepatutnya memberikan permulaan baharu untuk Manchester United, namun masalah serupa di belakang tabir telah membuatkan pengurus Belanda itu berdepan tugas sukar yang seakan mustahil.
Pengurus United sebelum ini, Ralf Rangnick menyatakan bahawa skuad itu ‘memerlukan perubahan’ dan perlu membawa sekurang-kurangnya 10 pemain baharu selepas berhempas pulas menamatkan musim lalu di tangga keenam.
Setakat ini, hanya tiga pemain baharu yang tiba di Old Trafford iaitu Lisandro Martinez, Tyrell Malacia dan Christian Eriksen.
United kini dilihat mempunyai skuad yang lebih lemah berbanding musim lalu dengan Paul Pogba, Edison Cavani, Jesse Lingard, Nemanja Matic dan Juan Mata kesemuanya telah meninggalkan kelab secara percuma, sementara penjaga gol Dean Henderson menyertai Nottingham Forest secara pinjaman.
Kemungkinan lebih banyak pemain yang bakal berpindah sejak beberapa minggu pertama musim ini dengan Cristiano Ronaldo menyatakan hasrat untuk berpindah agar boleh bermain di Liga Juara-Juara musim ini.
Ronaldo membuat penampilan pertama perlawanan pra musim Ahad lalu, bermain pada separuh masa pertama semasa terikat seri 1-1 menentang Rayo Vallecano.
Tetapi tindakkannya meninggalkan stadium sebelum tamat perlawanan dianggap sebagai ‘tidak boleh diterima’ oleh Ten Hag.
Bekas pengendali Ajax itu menunjukkan ketegasannya semasa mula-mula mengambil peranan, dilaporkan memperkenalkan denda baharu atas kesalahan melakukan kekasaran dan melarang pemain daripada menggunakan khidmat tukang masak peribadi.
Ten Hag enggan melayan sikap ego Ronaldo, dengan mengarahkan pemenang Ballon d’Or lima kali itu untuk kembali menjalani latihan selepas terlepas hampir keseluruhan persediaan bersama United bagi mengharungi kempen baharu.
“Dia perlu kembali cergas kerana dia baharu sahaja memulakan latihan,” Ten Hag memberitahu Sky Sports. – AFP