Ten Hag tolak kemungkinan latih Bayern

LONDON, 5 NOV – Jurulatih Ajax, Erik ten Hag (gambar bawah) semalam menolak kemungkinan dia akan mengambil alih jawatan jurulatih Bayern Munich buat masa ini sambil berkata dia akan kekal bersama juara Belanda itu sekurang-kurangnya hingga penamat musim ini.

Bayern memecat Niko Kovac pada Ahad, mencetuskan spekulasi hangat siapa akan mengemudi gergasi Bundesliga itu dengan Ten Hag dilaporkan calon paling sesuai selepas persembahan hebat Ajax dalam separuh akhir Liga Juara-Juara lalu dan kempen baik mereka dalam kempen kali ini.

Ten Hag adalah jurulatih simpanan Bayern dari 2013-15 di bawah Pep Guardiola, namun dia memberitahu wartawan dia tidak akan kembali ke Bavaria ketika ini. Ditanya di Stamford Bridge sama ada dia akan kekal di Ajax menjelang saingan Liga Juara-Juara berdepan Chelsea awal pagi Rabu ini, dia berkata “saya boleh mengesahkannya.”

“Saya ada hubungan yang kuat dengan pasukan saya, dengan semua orang di Ajax, jadi saya boleh sahkan bahawa saya akan kekal di Ajax musim ini,” kata pengendali berusia 49 tahun itu. Bagaimanapun Ten Hag, yang memiliki kontrak di Ajax hingga 2022, enggan menolak terus kemungkinan berpindah.

“Bayern ialah kelab yang menakjubkan, saya rasa sangat selesa dan gembira bekerja di situ dan masih di hati saya, tapi sekarang saya di Ajax,” katanya.

“Saya bukan bermimpi, saya fokus kepada Ajax, dan itu penting. Saya hidup hari ini dan fokus saya hanya kepada Ajax.” – AFP