Tenaga boleh baharu bantu peralihan Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 April – Tenaga boleh baharu dijangka memainkan peranan penting dalam usaha Malaysia untuk beralih daripada bahan api fosil, serta menerima komitmen global mengenai perubahan iklim dan kelestarian, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam buletin dalam talian bagi terbitan Mac 2019, MIDA berkata pada 2018 sahaja, agensi itu telah menjalankan lebih 50 program di peringkat tempatan dan luar negara.

“Kami akan terus memainkan peranan kami untuk menggalakkan dan memudahkan lagi pelaburan dalam perkhidmatan teknologi hijau,” katanya.

Menurut buletin dalam talian itu, Malaysia telah melalui peningkatan yang berterusan bagi dasar berkaitan tenaga solar, mengambil langkah penting dalam menggabungkan pendekatan yang lebih proaktif untuk menggalakkan penyertaan agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam sektor tenaga solar.

Katanya antara inisiatif yang diambil oleh Malaysia dalam mengubah industri bekalan tenaga ke arah menggabungkan lebih banyak campuran tenaga boleh baharu termasuk pelaksanaan projek Solar Skala Besar, Perjanjian Pembekalan untuk Tenaga Boleh Baharu dan skim Pemeteran Tenaga Bersih. – Bernama