KUCHING, 12 OKT – Keupayaan penjanaan tenaga boleh baharu Sarawak memberi kelebihan kepada negeri itu dalam menarik pelabur asing berbanding pesaing serantau lain, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata dalam menghadapi krisis perubahan iklim dan ke arah tenaga boleh baharu atau hijau, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menarik perbankan pelaburan asing mengenai potensi besar kuasa hidro dimilikinya.
Perkara ini dimaklumkan pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertama Ferroalloys Sdn Bhd dan kerajaan Sarawak di sebuah hotel di Tokyo pada Isnin, program pertama beliau selepas tiba di sana.
MoU itu ditandatangan susulan Ferroalloys berminat untuk mengembangkan kemudahan peleburan ferraaloi dan ferrosilikon sedia ada di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, iaitu kemudahan pertama di Malaysia membabitkan pelaburan sebanyak AS$600 juta.
Menurut Abang Johari, penjanaan tenaga hidro Sarawak dengan kapasiti terpasang sebanyak 3,452MW membolehkan negeri menyediakan tarif paling kompetitif di rantau ini yang turut memberi kelebihan kepada Ferroalloys kerana produk mereka akan mempunyai kelebihan berbanding produk sama lain.
Abang Johari berterima kasih kepada Ferroalloys atas keputusan untuk mengembangkan kilangnya di Samalaju dan hasrat untuk memperkenalkan alternatif sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kepada negeri khususnya dalam pembangunan sumber manusia.
“Sarawak kekurangan sumber manusia terutamanya dalam sains bahan,” katanya merujuk kepada bidang paling relevan dengan operasi syarikat. – Bernama