Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dalam usahanya untuk memelihara keselamatan awam, memantapkan perpaduan masyarakat dan memangkin pembangunan sosioekonomi terus berusaha melaksanakan rancangan-rancangan dan inisiatif ke arah mencapai objektif berkenaan.
Kementerian berkenaan juga akan terus komited dan mengambil langkah bersepadu bagi memastikan setiap perancangan yang telah digariskan akan terus dapat dilaksanakan.
Dalam hubungan itu, dari segi pengawalan pekerja asing, Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) terus menerus meneliti dan menyelaraskan prosedur-prosedur dan peraturan-peraturan mengenainya dari semasa ke semasa.
“Pada masa ini, jumlah tenaga pekerja asing telah menurun, di mana pada 2021, terdapat seramai 56,216 pekerja asing berbanding dengan 72,713 orang pada 2019.”
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam ucapan alu-aluannya semasa Sesi Muzakarah KHEDN bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi bahawa kedua-dua buah jabatan juga, dari segi penguatkuasaan undang-undang, secara berterusan dan bersepadu menjalankan operasi bagi memantau keberadaan pekerja asing dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang.
Jabatan Buruh dan JIPK telah mengambil tindakan tegas memulangkan pekerja asing yang sabit melanggar undang-undang balik ke negara asal mereka.
Yang Berhormat Pehin menyatakan, “Dari 2019 hingga 2021, seramai 1,637 pekerja asing dari Bangladesh, India, Pakistan dan Indonesia telah diambil tindakan dan dipulangkan.”
Beliau seterusnya berkata, “Dalam tempoh dua tahun menjalani kehidupan bersama COVID-19, kita bersyukur kerana dapat mematuhi dan mengamalkan setiap hari protokol dan SOP kesihatan iaitu menjaga kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal, tempat bekerja dan memastikan semua prasarana sentiasa dalam keadaan bersih.
“Kita berharap hikmah di sebalik COVID-19 iaitu menjaga kebersihan akan menjadi budaya hidup seluruh rakyat dan penduduk negara ini. Namun demikian kesalahan mengenai kebersihan terus juga berlaku,” tekannya.
Beliau mendedahkan, sehingga November 2021, sebanyak 599 kesalahan pembuangan sampah telah diambil tindakan, meningkat berban-ding 504 kesalahan pada 2019.
Sehubungan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pindaan kepada Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 2021 iaitu bagi mengenakan denda kompaun yang lebih berat kepada individu dan badan korporat yang melakukan kesalahan membuang sampah merata-rata.
Beliau menyatakan harapan denda kompaun yang berat itu akan dapat membantu memelihara kebersihan negara.
Sementara itu, dalam usaha memangkin sosioekonomi, lembaga bandaran dan jabatan-jabatan daerah terus berusaha dan meneroka rancangan-rancangan yang boleh membantu peniaga-peniaga mikro, kecil dan sederhana.
Di samping melaksanakan rancangan menyediakan tempat-tempat berniaga yang sudah dikeluarkan Request for Proposal (RFP), beberapa buah tempat lain telah dikenal pasti untuk dimajukan.
“Aktiviti perniagaan yang berkonsepkan trak makanan atau food truck umpamanya telah dimulakan sejak Januari 2022 di Bandar Seri Begawan adalah untuk memberi peluang dalam membantu peniaga-peniaga dan para usahawan muda.”
Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa dalam masa yang sama ia adalah satu usaha untuk memeriahkan dan menceriakan Bandar Seri Begawan terutama pada waktu malam.
Sementara itu, beliau menyatakan bahawa di peringkat mukim dan kampung pula, sektor perekonomian terkesan sejak penularan COVID-19 yang dapat dilihat dengan menurunnya pendapatan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) daripada $802,260 pada 2019 kepada $710,172 pada 2020 dan $556,842 pada 2021.
Namun pendapatan purata 19 orang pengusaha yang terlibat dalam projek transformasi 1K1P pada 2021 telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka melebihi 106 peratus sehingga ada yang memperoleh pendapatan sebanyak $5,000 ke $7,000 sebulan.
“Kita bersyukur dan berbangga kerana mereka telah membuat pendekatan berani dan dengan bijak menukar cabaran-cabaran COVID-19 kepada peluang.
“Dari itu, kita secara konsisten akan mengorak langkah bersama rakan-rakan strategik bagi meningkatkan lagi kemajuan produk ini dengan harapan bagi menembusi pasaran serantau,” ujarnya.