Tencent diarah batal kontrak muzik eksklusif

BEIJING, 25 JULAI – Syarikat gergasi internet Tencent diarahkan oleh badan pengawal selia supaya menamatkan kontrak eksklusif dengan pemegang hak cipta muzik, menambah penguatkuasaan anti-monopoli dan peraturan lain ketika Beijing memperketat kawalan ke atas industri dalam talian yang semakin berkembang pesat itu.

Tencent mengawal lebih 80 peratus daripada ‘sumber perpustakaan muzik eksklusif’ berikutan pemerolehan Kumpulan Muzik China pada 2016, menurut Pentadbiran Negeri Peraturan Pasaran semalam. Ia berkata pemerolehan memberikan keupayaan Tencent untuk mendapatkan syarat-syarat lebih baik daripada yang diterima oleh pesaing atau mengehadkan keupayaan pesaing untuk memasuki pasaran.

Tencent Holdings Ltd., terkenal di luar negara atas perkhidmatan pesanan WeChat, mempunyai empayar perniagaan yang termasuk permainan, muzik dan video. Ia merupakan antara 10 syarikat awam paling bernilai di dunia, dengan saham pasaran bernilai AS$680 bilion.

Demi ‘memulihkan persaingan pasaran,’ Tencent mesti menamatkan kontrak hak cipta muzik ekslusif dalam masa 30 hari, kata badan pengawal selia pasaran dalam satu kenyataan. Syarikat itu dilarang daripada mewajibkan pembekal untuk memberikan syarat-syarat lebih baik daripada yang diterima oleh pesaing.

Tencent berjanji di media sosial ‘akan mematuhi keputusan tersebut.’

Badan pengawal selia sedang mempertingkat undang-undang anti-monopoli, keselamatan data, kewangan dan peraturan lain ke atas Tencent, syarikat e-dagang Kumpulan Alibaba dan syarikat lain yang menguasai perniagaan hiburan, runcit dan industri lain.

Badan pengawal telah mengingatkan syarikat besar supaya jangan menggunakan pengaruh pasaran mereka untuk menghalang pesaing baharu daripada menyertai pasaran.

Tencent disekat oleh badan pengawal pada 10 Julai daripada menggabungkan platform permainan Douyu dan Huya berdasarkan alasan ia mungkin mengurangkan persaingan. – AP

Gambar fail menunjukkan orang ramai melihat pameran anjuran firma Tencent di Pameran Antarabangsa untuk Perniagaan Perkhidmatan China (CIFTIS) di Beijing. Tencent diarahkan badan pengawal selia supaya menamatkan kontrak eksklusif dengan pemegang hak cipta muzik kelmarin. – AP