Tencent kaji semula penggunaan WeChat kanak-kanak

BEIJING, 8 OGOS – Syarikat permainan terbesar China, Tencent berkata ia akan mengkaji semula sama ada ia berjaya mengawal akses kanak-kanak dalam penstriman langsung dan ciri-ciri lain selepas kerajaan melanjutkan tindakan keras ke atas industri teknologi dengan mengenakan tindakan undang-undangke atas syarikat yang gagal melakukan secukupnya untuk melindungi pengguna muda.

Industri permainan dalam talian gempar pada minggu ini apabila akhbar rasmi mengkritik produk mereka sebagai ‘candu kerohanian’ dan memetik contoh pelajar bermain permainan Honor of Kings di Tencent berjam-jam lamanya.

Tindakan guaman yang difail pada Jumaat oleh pendakwa Beijing ke atas sebuah anak syarikat Tencent mengadu syarikat mencabul ‘hak dan kepentingan kanak-kanak’ namun tidak menjelaskan lanjut. Dalam notis, pendakwa berkata agensi dan pertubuhan lain yang berhasrat mengemukakan tindakan undang-undang ke atas subsidiari itu harus menghubungi pendakwa dalam masa 30 hari.

Tencent terkenal di luar negara sebagai operator sistem pesanan WeChat. Ia adalah salah satu daripada 10 syarikat teknologi paling bernilai di dunia, dengan modal pasaran saham berjumlah kira-kira AS$560 bilion. – AFP

Orang awam melihat paparan dari firma teknologi Tencent pada Pameran Perdagangan Antarabangsa China di Beijing. Tencent berkata ia akan mengkaji semula sama ada ia berjaya mengawal akses kanak-kanak dalam penstriman langsung. – AP