Tenggelamkan bot elak ditahan Maritim Malaysia

CHUKAI, 18 OGOS – Nelayan Vietnam sanggup menengelamkan bot mereka bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), selepas ditangkap menceroboh dan mencuri hasil laut.

Pengarah Maritim Negeri Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, taktik tersebut dikesan dilakukan awak-awak yang menaiki sebuah daripada sembilan bot Vietnam yang ditahan dalam Op Kuda Laut, di perairan pantai timur pada 16 dan 17 Ogos lalu.

Katanya tujuh buah bot ditahan pada jarak 68 hingga 147 batu nautika dari Kuala Kemaman, manakala dua tangkapan bot lagi dilakukan di negeri Kelantan petang, semalam.

“Ketika proses menunda bot  ke jeti Maritim Kemaman, dua nelayan Vietnam bertindak mensabotaj bot berkenaan sehingga mengalami kebocoran dan mengakibatkan bot tersebut karam pada jarak 30 batu nautika dari Kuala Kemaman pada pukul 3:34 pagi tadi. Bagaimanapun, tiga anggota penguatkuasa Maritim Malaysia bersama dua nelayan yang berada di atas bot berkenaan berjaya diselamatkan.

“Kami percaya tindakan sedemikian dilakukan oleh nelayan Vietnam untuk melupuskan bukti kes, yang mana sebelum ini mereka pernah melakukan tindakan yang sama,” katanya pada sidang media di Pengkalan Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.

Tambahnya, empat buah bot menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan, bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelak daripada ditahan. – Bernama

Dua daripada lapan bot Vietnam yang dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menerusi Op Kuda Laut di Pengkalan Maritim Kemaman, kelmarin. – Bernama