Tenggiling betina muncul di perkarangan rumah

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan BruWILD & Suzanna Rasani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Melihat pengunjung yang tidak dijangkakan muncul di perkarangan rumahnya di Kampung Damuan, pemilik kediaman terbabit terus menghubungi pasukan Persatuan Biodiversiti dan Sejarah Alam Brunei (BruWILD) bagi mengawal anteater bersisik yang juga disenaraikan sebagai spesies terancam kritikal dalam Daftar Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Setelah tiba, pasukan BruWILD telah membuat penilaian fizikal ke atas tenggiling betina yang berukuran 92sm panjang dari hidung hingga ekornya yang merupakan ciri spesies tenggiling Sunda dewasa, spesies yang biasa terdapat di Kepulauan Borneo.

Pasukan tersebut juga merakam tenggiling tersebut bagi tujuan penyelidikan menggunakan lampu merah bagi mengurangkan bahaya pada mata haiwan nokturnal tersebut.

Pengasas dan Presiden BruWILD, Lin Ji Liaw memuji tindakan pemilik rumah kerana melaporkan penemuan itu dengan segera dan menasihatkan kepada orang ramai untuk melakukan perkara yang sama.

Ini kerana, katanya, haiwan liar seperti tenggiling akan menggulung badannya ketika merasa terancam dan sangat memerlukan penyelamatan hidupan liar yang betul dan pusat pemulihan kerana ia sering menjadi sasaran mudah pemburu haram yang menjual dari sisik hingga ke daging dan organnya.

“Ia sesuatu yang baik untuk diketahui bahawa haiwan ini masih hidup di sini, tetapi kita perlu melakukan lebih banyak untuk melindungi mamalia terancam ini,” kata Lin Ji.

Dari itu, katanya, BruWILD telah menyerahkan mamalia tersebut kepada Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan untuk dibebaskan ke lokasi yang selamat.

“Pasukan penyelamat dan rehabilitasi hidupan liar terlatih kami yang bekerja dengan Bahagian Hidupan Liar telah mengambil tenggiling itu untuk membuat penilaian fizikal sebelum melepaskannya kembali ke lokasi yang selamat,” jelasnya.

Bahagian Hidupan Liar telah mengakui atau mengiktiraf penyerahan tersebut, memandangkan mereka mempunyai kuasa untuk mengurus, memulihara dan melindungi semua fauna di negara ini.

Tenggiling betina yang ditemui di perkarangan rumah di Kampung Damuan.