Tenggiling dilepaskan ke hutan

BEIJING, 12 JUN – Aktivis di China telah melepaskan seekor tenggiling ke hutan untuk meraikan perlindungan baharu untuk haiwan tersebut di mana jumlahnya telah berkurangan ke tahap hampir pupus di negara itu.

Anggota sukarelawan telah menyelamat dan memulihkan tenggiling bernama Lijin selepas ia ditemui oleh seorang nelayan di timur wilayah Zhejiang di China.

“Ia adalah satu permulaan yang baik tetapi ia tidak cukup,” kata Zhou Jinfeng, setiausaha agung Dana Pemuliharaan dan Pembangunan Hijau Biodiversiti China, kumpulan di sebalik pembebasan tenggiling semalam.

Hanya pada tahun lalu di Zhejiang, pihak berkuasa menahan 18 penyeludup dan merampas 23.1 tan sisik tenggiling yang diperoleh daripada kira-kira 50,000 haiwan, menurut media negeri China.

Selepas anggota sukarelawan membuka tong pengangkutan, tenggiling itu merangkak ke hutan di luar bandar Jinhua, Zhejiang.

“Kami akan membebaskan lebih banyak tidak lama lagi,” kata Zhou, yang berjanji akan melepaskan semua tenggiling yang dikurung di China.

Kumpulan Selamatkan Tenggiling di AS berkata pemberian status dilindungi ke atas tenggiling oleh China pada awal bulan ini merupakan ‘kemenangan besar untuk tenggiling’ selepas penguatkuasaan lemah sekatan yang dikenakan. Sisik tenggiling merupakan ramuan dalam ubat tradisional China dan dagingnya dianggap makanan istimewa oleh sesetengah orang. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh CBCGDF menunjukkan seorang pekerja membawa tenggiling bernama Lijin untuk dilepaskan dari pusat menyelamat haiwan Jinhua di wilayah Zhejiang. – AP