Sunday, December 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tenggiling Sunda Sabah kini dilindungi sepenuhnya

    SANDAKAN, 13 Feb – Status tenggiling Sunda kini telah dinaikkan iaitu diklasifikasikan sebagai haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah, dan berada di bawah kumpulan sama bagi Orangutan, beruang madu dan beberapa spesies ikon lain yang terdapat di negeri ini.

    Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ini bermakna ia dilarang bagi aktiviti memburu, memakan atau menjual tenggiling atau bahagian  anggotanya dan pesalah boleh dikenakan denda maksimum seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

    “Dokumen untuk menaik taraf status perlindungan tenggiling ini telah diluluskan Kabinet negeri Sabah,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran arca tenggiling di Lapangan Terbang Sandakan di sini hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi.

    Arca mamalia itu diperbuat  daripada papan pengiklanan poli karbonat yang dikitar semula dan botol terpakai.

    TENGGILING… Pengerusi pertubuhan Future Alam Borneo Anton Ngui ketika memberi penerangan mengenai Pameran Arca Tenggiling di Lapangan Terbang Sandakan pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi hari ini. – Bernama

    Masidi berkata satu daripada cabaran besar dalam pemeliharaan tenggiling ini adalah sangat sedikit diketahui tentang ‘makhluk yang sangat berahsia dan sukar difahami ini’.

    Beliau berkata selama berjuta-juta tahun, tenggiling telah membiak dan sukar dikesan dan sering didapati dalam ketumpatan rendah berdasarkan kajian penggunaan teknologi perangkap kamera.

    Ini menjadikan mamalia kecil ini jarang dilihat dan sukar untuk menjalankan kajian, menyebabkan saintis percaya spesies haiwan ini dalam bahaya kepupusan yang ketara, katanya.

    Beliau berkata walaupun wujud undang-undang melindungi hidupan liar di banyak negara, pemburuan dan penyeludupan haiwan hidupan liar secara haram, masih berterusan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda