Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Tengkorak T rex bakal dijual AS$15 juta

    NEW YORK, 9 NOV – Tengkorak Tyrannosaurus rex yang digali di Dakota Selatan dijangka dijual AS$15 juta atau lebih pada pelelongan di New York bulan depan, kata pegawai firma Sotheby’s semalam.

    Tengkorak fosil seberat 91 kilogram, diberi nama Maximus, akan dijual pada 9 Disember oleh pemilik yang tidak mahu namanya disiarkan, kata firma pelelongan itu. Tengkorak itu digali pada 2020 dan 2021 di Harding County, Dakota Selatan, di mana rangka T rex lain seperti Sue dan Stan ditemui, menurut Cassandra Hatton, ketua sains dan budaya popular Sotheby’s. Beliau menggelar kawasan itu ‘ibu negeri dunia T rex.’

    Kebanyakan rangka T rex musnah akibat hakisan, tetapi pakar Sotheby’s berkata tengkorak itu merupakan penemuan besar.

    Fosil sepanjang 2 meter itu berusia kira-kira 76 juta tahun dan masih mempunyai kebanyakan tulang tengkorak luar serta beberapa batang gigi.

    Hatton berkata dua lubang besar dalam tengkorak adalah bukti perkelahian besar, mungkin dengan dinosaur T rex lain. “Kami tidak tahu punca kematian haiwan ini namun kami boleh beritahu ia mempunyai perkelahian besar semasa hayatnya,” kata beliau.

    Tanda di tengkorak adalah menarik untuk dikaji ‘kerana mereka memberikan kami idea mengenai kehidupan semasa era Cretaceous,’ kata Hatton.

    Spesimen ini tidak mungkin disimpan di institusi penyelidikan. “Ia adalah penemuan berharga, untuk diletak dalam rumah seseorang,” kata Hatton. – AP

    Tengkorak Tyrannosaurus rex yang digali dari Harding County, Dakota Selatan dipamer di Bandar New York. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...