Tenis: Kejohanan Balkan curi tumpuan pemain profesional

BELGRADE, 26 MEI – Pemain nombor tujuh dunia, Alexander Zverev akan menyertai kejohanan Balkan bulan depan yang turut disertai oleh Novak Djokovic, mendorong pemain-pemain teratas untuk turut serta dalam perlawanan di Belgrade itu ketika musim profesional dihentikan sementara akibat koronavirus.

“Berita yang ingin saya umumkan hari ini adalah bahawa Sasa Zverev, Alexander Zverev, akan datang ke Belgrade,” kata Djokovic pada sidang media di ibu negara Serbia kelmarin.

Pemain Jerman itu akan bergabung dengan pemain nombor tiga dunia, Dominic Thiem dan Grigor Dimitrov, yang berada di ranking 19, di Belgrade pada 13 hingga 14 Jun untuk perhentian pertama Jelajah Adria.

“Tiga bintang tenis terhebat di dunia. Saya sangat berterima kasih kepada mereka,” kata Djokovic.

Sama ada penonton akan dibenarkan masih belum dapat dipastikan.

Novak Djokovic ketika sesi bergambar selepas sidang media kejohanan tenis Jelajah Adria yang akan datang di Belgrade kelmarin. – AFP

“Saya harap beberapa peraturan akan diubah pada 13 Jun dan mungkin kita juga berpeluang untuk memiliki penonton,” kata pemain nombor satu dunia itu.

“Sudah tentu, ini masih tidak dapat dipastikan, seperti banyak perkara lain yang berkaitan dengan keadaan ini yang disebabkan oleh koronavirus.”

Jelajah Adria, yang diumumkan oleh Djokovic pada hari ulang tahunnya yang ke-33 minggu lalu, akan berlangsung dari 13 Jun hingga 5 Julai di Serbia, Croatia, Montenegro dan Bosnia di gelanggang tanah liat. Wang yang diperoleh daripada kejohanan itu akan disumbangkan kepada pelbagai badan amal.

“Ini merupakan satu amal kemanusiaan. Maksudnya, semua pendapatan, sama ada dari kontrak tajaan, hak audiovisual kebangsaan dan antarabangsa, semuanya akan disumbangkan kepada organisasi kemanusiaan,” katanya kepada media. – AFP