Tentera AS anjur latihan laut terbesar

HONOLULU, 30 APRIL – Tentera Laut AS berkata semalam ia akan menganjur latihan laut terbesar di dunia di Hawaii sekali lagi pada tahun ini, tetapi latihan hanya akan diadakan di laut disebabkan koronavirus.

Tentera Laut telah mengadakan latihan Lingkaran Pasifik di Hawaii setiap dua tahun sejak awal 1970. Gabenor Hawaii David Ige pada awal bulan ini meminta tentera supaya menangguh latihan ‘sehingga situasi COVID-19 di pulau menjadi stabil.’

Armada Pasifik berkata dalam satu kenyataan RIMPAC 2020 tidak akan termasuk acara sosial di pantai. Pangkalan Pearl Harbour-Hickam akan mengemukakan ‘pelan minimum’ kakitangan untuk tujuan logistik dan sokongan.

Ia juga berkata latihan yang diubahsuai itu merupakan satu cara untuk ‘menjalankan latihan dengan nilai latihan maksimum dan risiko minimum bagi tentera, sekutu dan rakan, dan penduduk Hawaii.”

Latihan juga akan diadakan dalam tempoh dua minggu, dari 17-31 Ogos, dan bukannya acara biasa lima minggu dari akhir Jun hingga awal Ogos.

Ige berkata dalam kenyataan beliau berasa gembira Tentera Laut bersetuju menunda latihan dan akan menjalankannya di laut. Beliau berkata beliau akan menilai semula dan mengambil tindakan sewajarnya jika keadaan berubah. – AP