Tentera Armenia serang Ganja

GANJA, AZERBAIJAN, 5 OKT – Azerbaijan semalam mendakwa tentera Armenia melancarkan serangan di bandar raya kedua terbesarnya di Ganja, sekali gus meningkatkan konflik yang mula tercetus minggu lalu, lapor agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Azerbaijan berkata tentera Armenia melancarkan serangan roket di wilayah Fizuli dan di wilayah Aghdam dan Terter.

Pihak musuh turut menyerang kota Ganja, katanya.

Ganja ialah bandar Azerbaijan kedua terbesar didiami lebih 500,000 penduduk.

Menteri Pertahanan Zakir Hasanov berkata tindakan itu ‘provokatif dan meningkatkan lagi permusuhan.’

Pertembungan sempadan berlaku semalam apabila tentera Armenia menyasarkan penempatan orang awam dan kedudukan tentera Azerbaijan, yang mengakibatkan korban.

Hubungan antara dua bekas republik Soviet itu tegang sejak 1991, ketika tentera Armenia menduduki Karabakh, sebuah wilayah Azerbaijan yang diakui di peringkat antarabangsa.

Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta pelbagai pertubuhan antarabangsa, menuntut pengunduran tentera. – Bernama