Tentera AS di Afghanistan pulang 11 Sept

WASHINGTON, 14 APRIL – Presiden Joe Biden dijangka memanggil pulang semua pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di Afghanistan, sebelum ulang tahun ke-20 tragedi serangan 11 September, pada tahun ini.

Langkah itu bakal mengakhiri peperangan paling lama membabitkan AS, meskipun kebimbangan semakin memuncak terhadap kemenangan yang akan diraih Taliban.

Berdasarkan perjanjian dimeterai sebelum ini antara bekas Presiden AS, Donald Trump, dengan Taliban, langkah itu sepatutnya dilaksanakan menjelang Mei depan dengan syarat Taliban tidak menyokong Al-Qaeda dan kumpulan pelampau asing lain.

Sebelum ini, Turki mengumumkan penganjuran persidangan keamanan antarabangsa berhubung Afghanistan, dengan harapan mewujudkan perkongsian kuasa yang berupaya memberi kestabilan kepada negara dilanda peperangan hampir 40 tahun itu.

Biden dijangka membuat pengumuman berhubung perkara berkenaan, hari ini.

Pegawai Biden memaklumkan langkah memanggil pulang tentera itu akan bermula Mei depan dan sedikit kelewatan mungkin berlaku atas faktor logistik, namun mereka dijangka keluar dari Afghanistan sebelum 11 September.

Pegawai itu turut memberi amaran kepada Taliban supaya tidak menyerang pasukan tentera gabungan ketika mereka meninggalkan Afghanistan.

“Kami akan bertindak balas habis-habisan jika berlaku sebarang serangan,” katanya. – AFP

Presiden Joe Biden bercakap pada majlis menghormati pegawai Polis Capitol AS yang terbunuh di Capitol. Biden dijangka memanggil pulang semua pasukan tentera AS yang ditempatkan di Afghanistan 11 September 2021. – AP