Tentera AS mula berundur dari Syria

BEIRUT, 7 OKT – Tentera pimpinan Kurdish berkata tentera Amerika Syarikat (AS) mulai berundur daripada kedudukan di sepanjang sempadan di timur laut Syria hari ini sebelum serangan Turki yang dikatakan oleh penduduk Syria Kurd akan mengubah pencapaian lima tahun dalam pertempuran menentang kumpulan Islamic State (IS).

Pejuang Syria Kurdish juga menuduh Washington gagal memenuhi komitmennya terhadap sekutu utama dalam kempen memerangi IS. Ia merupakan peralihan utama dalam dasar AS.

Tidak adanya pengesahan dari Rumah Putih tentang pengunduran tentera AS di kawasan di utara Syria.

Bagaimanapun, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan juga berkata tentera Amerika telah menarik diri daripada kedudukan, dan satu video yang disiarkan oleh agensi berita Kurdish menunjukkan konvoi kenderaan perisai Amerika bergerak keluar dari kawasan sempadan Tal Abyad.

Erdogan berkata beberapa jam selepas Rumah Putih berkata tentera AS di timur laut Syria akan berundur dan membuka laluan kepada serangan Turki yang dijangka berlaku, jelasnya meninggalkan pejuang Kurdish yang bertempur bersama tentera Amerika dalam pertempuran bertahun lamanya untuk menewaskan kumpulan Islamic State.

Erdogan tidak mengulas mengenai serangan Turki yang dirancang namun berkata Turki bertekad untuk menghentikan apa yang dianggapnya sebagai ancaman daripada pejuang Syria Kurdish.

Erdogan telah mengugut beberapa bulan lamanya untuk melancarkan operasi tentera di sempadan. Beliau menganggap tentera Kurdish sebagai satu ancaman kepada negaranya memandangkan Ankara telah bergelut dengan pemberontakan Kurdish di Turki. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Hawar, ANHA, menunjukkan kenderaan tentera AS bergerak di jalan utama di timur laut Syria, kelmarin. – AP