BANYUWANGI, INDONESIA, 10 SEPT – Beribu-ribu orang askar dari Amerika Syarikat (AS), Indonesia, Australia dan tentera bersekutu lain menunjukkan keupayaan perisai mereka hari ini dalam latihan tempur di pulau Jawa Indonesia pada masa peningkatan pencerobohan China di rantau itu.
Pentadbiran Presiden Joe Biden telah mengukuhkan rangkaian pakatan tentera di Indo-Pasifik untuk meyakinkan sekutu-sekutu yang bimbang dengan tindakan Beijing yang semakin provokatif di Laut China Selatan yang dipertikaikan, yang telah menjadi medan pertempuran untuk persaingan AS-China.
Semasa latihan itu, tentera Australia mengerahkan lima kereta kebal M1A1 Abrams dan tentera Indonesia mengerahkan dua kereta kebal Leopard-2 untuk latihan tempur selama dua minggu di Banyuwangi, sebuah daerah pantai di wilayah Jawa Timur yang bermula 1 September lalu. Ia akan termasuk latihan-latihan keba-karan sebenar.
Ia adalah kali pertama Australia mengerahkan kereta kebal tempur di luar wilayahnya sejak perang Vietnam.
Latihan Garuda Shield telah diadakan setiap tahun antara askar AS dan Indonesia sejak 2009. Peserta tahun lepas Australia, Jepun dan Singapura menyertai semula hari ini dan senarai itu diperluaskan untuk memasukkan United Kingdom (UK) dan Perancis menjadikan jumlah keseluruhan tentera yang mengambil bahagian kepada 5,000.

China melihat latihan yang diperluaskan itu sebagai ancaman, menuduh AS membina pakatan Indo-Pasifik yang serupa dengan NATO untuk mengehadkan pengaruh ketenteraan dan diplomatik China yang semakin meningkat di rantau ini.
Komandan Divisyen Infantri ke-25 Tentera Darat AS, Mejar Jeneral Marcus Evans memberitahu The Associated Press dalam temu bual kelmarin bahawa pengenalan keupayaan perisai dalam latihan berskala besar itu akan memberi peluang kepada pasukan bersekutu dan rakan pertahanan untuk menguji persenjataan mereka dalam latihan pertempuran sambil memperkemaskan kesediaan ketenteraan mereka.
Garuda Shield diadakan di beberapa tempat, termasuk di perairan sekitar Natuna di bahagian selatan Laut China Selatan. – AP