Tentera Azerbaijan masuki wilayah Kalbajar selepas 27 tahun

BAKU, 25 NOV – Tentera Azerbaijan memasuki wilayah Kalbajar selepas 27 tahun dicerobohi Armenia, lapor Agensi Anadolu, memetik Menteri Pertahanan negara hari ini.

“Menurut kenyatan bersama tiga pihak yang ditandatangani oleh Presiden Republik Azerbaijan, Persekutuan Rusia dan Perdana Menteri Republik Armenia, unit Tentera Azerbaijan memasuki wilayah Kalbajar pada 25 November,” kata kementerian itu.

Hubungan antara dua bekas negara republik Soviet, Azerbaijan dan Armenia tegang sejak 1991, apabila tentera Armenia mencerobohi Nagorno-Karabakh, sebuah wilayah yang diakui sebagai sebahagian dari Azerbaijan, dan tujuh wilayah di sekitarnya.

Pertempuran baharu tercetus pada 27 September lalu, apabila pasukan tentera Armenia melancarkan serangan ke atas orang awam dan tentera Azerbaijan dan melanggar perjanjian gencatan senjata.

Sepanjang 44 hari konflik berlangsung, Azerbaijan berjaya membebaskan beberapa bandar dan hampir 300 penempatan dan perkampungan daripada pencerobohan Armenia.

Pada 10 November, kedua-dua negara menandatangani perjanjian dengan Rusia sebagai orang tengah untuk menamatkan peperangan dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang komprehensif.– Bernama