Tentera berjaya tangkap pemimpin jihad

ABIDJAN, 22 JUN – Ivory Coast berkata hari ini bahawa mereka telah berjaya menangkap pemimpin jihad yang mengetuai serangan berdarah di sebuah pos kawalan sempadan bulan ini dan menangkap sejumlah besar orang bawahannya.

“Komandan pasukan yang mengetuai serangan itu telah ditangkap kelmarin,” menurut Menteri Pertahanan, Hamed Bakayoko di kem tentera di Abidjan, semasa ucapan menghormati tentera yang terbunuh semasa serangan di sempadan. Dia tidak mendedahkan individu atau memberikan sebarang butiran mengenai penangkapan tersebut.

“Kami tidak akan pergi dengan lebih lanjut kerana siasatan masih dijalankan. Kita akan mengetahui dengan siapa dia berhubung, siapa dalang sebaliknya,” katanya. Bakayoko, turut berkata pihak berkuasa telah melakukan ‘sejumlah besar penangkapan terhadap orang yang terlibat secara langsung’ dalam serangan itu.

Pihak tentera berkata ‘kira-kira 10’ orang anggota tentera terbunuh dan enam lagi cedera pada 11 Jun ketiak berpuluh-puluh anggota jihad melakukan serangan sebelum subuh di pos sempadan di Kafolo, di sempadan Timur Laut dengan Burkina Faso.

Sumber lain menyebutkan jumlah korban terbunuh seramai 12 orang, 11 darinya adalah tentera dan seorang penguat kuasa di kalangan orang awam, dan menyifatkan serangan itu sebagai pembalasan terhadap tindakan keras anti-jihad. – AFP