Tentera Czech beli 52 meriam howitzer

PRAGUE, 30 SEPT – Perancis memeterai satu perjanjian di Prague hari ini untuk menjual 52 meriam howitzer bernilai AS$386 juta kepada Tentera Czech.

Kumpulan senjata Perancis Nexter mengeluarkan howitzer Caesar 155 milimeter, yang akan mengganti DANA buatan Czeh dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Dengan membeli 52 meriam kaliber NATO baharu, kami akan merangsang kapasiti pertahanan kami dan mengganti howitzer DANA yang berusia lebih 40 tahun,” kata Menteri Pertahanan Czech Lubomir Metnar.

“Senjata tersebut akan dibekalkan pada tahun 2024-2026,” tambah beliau.

Menteri Pertahanan Perancis Florence Parly mengalu-alukan senjata meriam Caesar sebagai ‘alat berpengaruh, tepat dan moden.’

“Dengan saham tempatan berjumlah lebih 40 peratus, industri Czech akan terbabit sepenuhnya dalam pembinaan sistem ini,” beritahunya kepada wartawan.

Perancis akan membekal empat howitzer pertama dan baki 48 selebihnya akan siap di Republik Czech oleh syarikat pegangan Kumpulan Czechoslovak.

Kementerian pertahanan Czech, yang menimbang lapan tawaran, mengumumkan perjanjian itu pada tahun lalu tetapi rundingan mengambil masa lebih lama daripada dijangka.

Tentera Perancis telah menggunakan meriam Caesar 155 milimeter dengan jarak 40 kilometer sejak 2008. – AFP

Menteri Pertahanan Czech Lubomir Metnar (kiri) dan rakan sejawatan Florence Parly memeriksa barisan kawalan kehormat di Prague kelmarin. – AFP