Tentera ditempatkan di sempadan Himalaya

NEW DELHI, 26 JUN – India semalam mengaku untuk kali pertama bahawa negara ini bertindak setara China dalam penempatan tentera di kawasan persempadanan Himalaya selepas insiden pertempuran berdarah, bulan ini.

Namun, Kementerian Luar India menuduh China sebagai punca ketegangan dengan memulakan penempatan tentera, dan memberi amaran hubu-ngan antara kedua-dua negara berpenduduk paling padat di dunia itu boleh terjejas sekiranya kebuntuan terbabit berlanjutan. Dua negara berjiran itu menyalahkan antara satu sama lain atas pertempuran di rantau Ladakh pada 15 Jun lalu yang menyaksikan 20 tentera India terbunuh, manakala jumlah korban pihak China tidak diketahui.

Walaupun masing-masing menyatakan hasrat untuk meredakan keadaan, jurucakap Kementerian Luar India, Anurag Srivastava, berkata ‘kedua-dua pihak kekal menempatkan sejumlah besar tentera di rantau itu, sementara hubungan diplomatik dan ketenteraan masih berterusan’. Srivastava mendakwa, ‘tindakan China’ di sempadan tidak rasmi dikenali sebagai Line of Actual Control (LAC) itu membawa kepada pertempuran berdarah membabitkan penggunaan batu dan belantan, bulan ini. Tiada tembakan dilepaskan.

“Pokok permasalahan ini ialah sejak awal Mei lalu, pihak China telah menempatkan sejumlah besar tentera dan senjata di sepanjang LAC,” dakwa jurucakap itu. Menurutnya, China telah menghalang rondaan India di mana ia melanggar persetujuan yang dicapai untuk mengelakkan pertempuran antara tentera mereka. – AFP