Tentera Guinea rampas kuasa, tahan Presiden

CONAKRY, 6 SEPT – Pasukan khas tentera Guinea melancarkan rampasan kuasa semalam, sekali gus menahan Presiden dan menguatkuasakan perintah berkurung tanpa tempoh khusus di negara yang terletak di barat Afrika ini.

“Selepas menahan Presiden, kami membuat keputusan untuk memansuhkan Perlembagaan negara,” kata seorang pegawai berpakaian seragam sambil dikelilingi tentera yang memegang senapang, dalam satu rakaman video dihantar kepada AFP.

Menurut pegawai itu, sempadan udara dan darat Guinea turut ditutup, manakala kerajaan telah dibubarkan.

Dalam satu rakaman video terdahulu yang dihantar kepada AFP oleh pasukan itu, Presiden Alpha Conde dilihat duduk di atas sofa dengan dikelilingi tentera.

Pemimpin berusia 83 tahun itu juga dilihat enggan menjawab soalan daripada seorang tentera berkenaan mengenai sama ada beliau telah diberikan layanan buruk.

Junta turut mengumumkan darurat di seluruh negara sehingga ‘dimaklumkan kemudian’, dan akan memanggil barisan menteri dalam Kabinet di bawah pentadbiran Conde.

“Mereka yang enggan hadir akan dianggap sebagai pemberontak,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, katanya, jawatan gabenor dan pentadbir utama di negara ini akan diambil alih oleh tentera. – AFP

Penduduk membanjiri jalan raya bersama anggota keselamatan Guinea selepas penahanan presiden, Alpha Conde dalam rampasan kuasa di Conakry pada 5 September 2021. – AFP