Tentera Iraq lancar operasi rebut bandar tawanan IS

BAGHDAD, 5 Jan – Anggota tentera Iraq hari ini melancarkan serangan yang bertujuan untuk menawan semula bandar-bandar yang masih di bawah kawalan kumpulan Negara Islam (IS) di kawasan barat berhampiran sempadan dengan Syria, kata komander.

“Operasi tentera telah bermula di kawasan barat Anbar untuk membebaskan mereka daripada Daesh,” kata Leftenan Jeneral Qassem Mohammedi, komander Pemerintah Operasi Jazeera, menggunakan singkatan Bahasa Arab untuk IS.

Beliau berkata, operasi itu diketuai oleh anggota tentera bahagian 7, polis, dan pejuang dari puak-puak tempatan yang menentang jihad, dengan sokongan udara dari pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

Sasaran utama operasi adalah Aanah, Rawa dan Al-Qaim, bandar-bandar barat Iraq sepanjang Lembah Efrat.

Hab jihad Al-Qaim, yang terletak 330 kilometer (200 batu) barat laut Baghdad, masih jauh di hujung jalan dan sasaran utama serangan tersebut adalah di bandar Aanah.

Beberapa warga awam melintasi pasukan Iraq ketika mereka meninggalkan kawasan kejiranan Al-Mithaq tenggara Mosul itu pada 3 Januari 2017, dalam satu operasi ketenteraan berterusan menentang kumpulan IS. – AFP
Beberapa warga awam melintasi pasukan Iraq ketika mereka meninggalkan kawasan kejiranan Al-Mithaq tenggara Mosul itu pada 3 Januari 2017, dalam satu operasi ketenteraan berterusan menentang kumpulan IS. – AFP

“Pasukan kami bermula dari Haditha ke arah Aanah dari beberapa arah,” Mohammedi kepada AFP.

Haditha tidak pernah ditawan oleh IS apabila kumpulan itu menawan kebanyakan kawasan tengah Arab Sunni Iraq pada tahun 2014 dan merupakan rumah kepada suku kaum yang telah membawa perjuangan menentang jihad di kawasan itu.

Pada 2016, tentera Iraq mengambil semula sebahagian besar wilayah besar Anbar, termasuk ibu negeri Ramadi dan bandar Fallujah.

Anbar merupakan kawasan padang pasir yang bertemu dengan Efrat yang bersempadan dengan Arab Saudi, Jordan dan Syria.

Berpuluh-puluh ribu tentera Iraq kini terlibat dalam serangan untuk merebut kembali Mosul, bandar utama utara yang juga merupakan kubu utama terakhir IS di negara ini. – AFP