Tentera Israel musnah rumah warga Palestin

NABLUS, Wilayah Palestin, 17 Dis – Pasukan Israel memusnahkan rumah seorang warga Palestin yang dituduh membunuh dua rakyat Israel, dalam satu serbuan tentera yang mencetuskan pertempuran semalaman, hari ini, kata jurnalis AFP.

Tiga orang cedera akibat tembakan peluru getah, kata agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Ratusan tentera mengelilingi rumah terbabit di sub bandar Tulkarm di utara Tebing Barat, kata jurnalis AFP.

Askar-askar telah memusnahkan dinding rumah Ashraf Naalwa di tingkat bawah dan atas rumah berkenaan, sebelum berundur pada pagi ini.

Pihak tentera Israel tidak memberi komen atas operasi terbabit.

Naalwa, 23, telah dibunuh oleh tentera Israel Khamis lepas selepas diburu selama dua bulan.

Dia dituduh membunuh dua sekawan warga Israel di zon industri berhampiran penempatan Yahudi Barkan, utara Tebing Barat. Gerakan Islamis Palestin, Hamas mendakwa Naalwa adalah salah seorang pejuangnya.

Bercakap kepada mesyuarat kabinet kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata dia telah mengarahkan ‘pemusnahan segera rumah-rumah pengganas’ ekoran gelombang serangan baru-baru ini. – AFP

Warga Palestin memeriksa flat Ashraf Naalwa selepas tentera Israel memusnahkannya di kampung Shuwaykah, berhampiran bandar Tulkarem, Tebing Barat pada 17 Disember. – AFP