ENIWA, Jepun, 16 Ogos – Kira-kira 300 kakitangan tentera Jepun dan Amerika Syarikat (AS) hari ini menjalankan latihan peluru hidup di utara Jepun, kata para pegawai, di tengah-tengah ketegangan serantau memuncak berhubung ancaman peluru berpandu Korea Utara.
Latihan itu, sebahagian daripada eksesais 19 hari, muncul selepas perang mulut yang tegang antara AS dan Korea Utara berhubung ancaman Pyongyang yang mengugut melepaskan tembakan peluru berpandu ke pulau Guam, Pasifik.
Tentera dari Pasukan Pertahanan Jepun (GSDF) dan Marin AS melepaskan tembakan peluru hidup dari kereta kebal di kawasan latihan di pulau utara Hokkaido.
Dua pasukan memulakan latihan Northern Viper 2017 pada 10 Ogos, melibatkan sejumlah 1,300 tentera GSDF dan 2,000 askar marin.
“Ia adalah latihan bersama pertama kalinya antara GSDF dan Marin AS di Hokkaido,” kata jurucakap kementerian pertahanan.
Jurucakap menafikan adanya kaitan antara latihan dan ketegangan serantau baru-baru ini berhubung Korea Utara.
“Latihan ini tidak dilakukan dengan negara tertentu atau rantau spesifik,” katanya.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un berkata kelmarin dia akan menangguhkan pelan untuk menembak empat peluru berpandu balistik ke Guam, sebuah wilayah kepulauan Pasifik AS.
Ancaman itu muncul selepas Presiden AS, Donald Trump memberi amaran Pyongyang mengenai ‘serangan dan keberangan’ berhubung pembangunan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM). – AFP