Tentera laut Brunei-Australia erat kerjasama

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Aktiviti penglibatan serantau Australia yang menjadi kemegahan, Indo-Pacific Endeavour tiba di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

Dalam lawatan di negara ini, Tentera Laut Diraja Australia dan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) akan menjalankan aktiviti-aktiviti tanpa bersemuka dan selamat COVID-19 di laut untuk terus membangunkan interoperability dan mengukuhkan hubungan kerjasama pertahanan.

Kapal-kapal Australia tidak akan berlabuh di Pelabuhan Muara dan aktiviti dilakukan tanpa bersemuka secara langsung.

Dikendalikan sejak 2017, Indo-Pacific Endeavour adalah sebahagian daripada program penglibatan antarabangsa yang telah lama wujud di Australia yang antara lain bertujuan untuk memupuk keselamatan, kerjasama dan perkongsian di wilayah terdekat Australia.

Bagi tahun ini, ia menumpukan ke atas kumpulan petugas maritim Australia yang merangkumi Kapal HMAS Canberra dan Anzac, melibatkan kira-kira 700 orang, termasuk anggota Angkatan Pertahanan Australia dan kakitangan pertahanan awam serta peserta dari negara-negara sahabat seperti Malaysia, Filipina, Perancis, United Kingdom dan Kanada.

Kapal TLDB, KDB Darulehsan melintas kapal HMAS Canberra, Australia dengan kru kapal berbaris di atas dek. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam

Aktiviti-aktiviti Indo-Pacific Endeavour 2021 telah disesuaikan sebagai tindak balas terhadap pandemik COVID-19.

Program berkenaan akan melibatkan aktiviti-aktiviti dengan unsur-unsur kerajaan Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, termasuk melalui pelbagai bengkel dan aktiviti perkongsian maklumat serta panggilan maya pemimpin-pemimpin kanan.

Pemerintah Indo-Pasifik Endeavour 2021, Laksamana Pertama Mal Wise dipetik berkata, “Hubungan pertahanan Australia dengan Brunei telah berkembang dengan pesat dalam beberapa tahun terakhir.

“Hubungan ini diikat menerusi latihan-latihan ketenteraan, lawatan peringkat pegawai-pegawai kanan dan dialog tahunan, serta Indo-Pacific Endeavour adalah satu lagi demonstrasi praktikal hubungan erat kami.”

Beliau turut menantikan program interaksi maya dengan Brunei, untuk belajar daripada pengalaman dan perspektif negara ini selain menjadikan aktiviti penglibatan ini berjaya bagi memperkukuhkan lagi hubungan.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald turut mengalu-alukan Indo-Pacific Endeavour 2021 ke Brunei.

Beliau berkata, “Australia mempunyai sejarah penglibatan pertahanan yang panjang dan membanggakan dengan Brunei dan angkatan tentera Australia yang telah membebaskan Borneo Utara termasuk Brunei dan ini sebagai sebahagian daripada Operasi OBOE VI menjelang akhir Perang Dunia II.

“Saya gembira bahawa Indo-Pacific Endeavour menandakan lawatan ketiga ke Brunei oleh Tentera Laut Diraja Australia pada 2021 di mana kegiatan-kegiatan dalam program ini memberi peluang berharga untuk meningkatkan interoperability, meningkatkan penyelarasan dan bekerjasama dengan Brunei bagi menyokong rantau yang aman, inklusif dan berdaya tahan,” ujarnya.

Penglibatan Indo-Pasifik Endeavour 2021 dengan Brunei telah dirancang dengan
kerjasama Kementerian Pertahanan.