Tentera Mesir didakwa laku pembunuhan kejam

BEIRUT, 6 OGOS – Amnesty International (AI) menggesa siasatan segera berhubung video menunjukkan tentera Mesir melakukan pembunuhan kejam termasuk menembak seorang lelaki sedang tidur.

Melalui video yang dimuat naik di Facebook Ahad lalu oleh jurucakap tentera Mesir, pihaknya menceritakan pembunuhan membabitkan 89 militan di Utara Sinai dengan paparan imej pihak berkuasa itu bertempur di medan perang.

Menurut AIy, video itu menunjukkan tentera menembak mangsa pada jarak dekat ketika sedang tidur di sebuah khemah manakala seorang lelaki tidak bersenjata dihujani peluru dari bahagian atas.

Pihak berkuasa Mesir sejak bertahun lamanya berjuang menentang pemberontak di Semenanjung Sinai yang diketuai oleh cabang tempatan kumpulan ekstremis.

Menurut AI, Pendakwa Raya Mesir harus menyiasat segera suatu paparan video yang disifatkan sebagai pembunuhan tanpa mengikut lunas undang-undang dan pihak bertanggungjawab perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

Sejak Februari 2018, pihak berkuasa melaksanakan operasi besar-besaran terhadap puak militan dengan menumpukan kawasan utara Sinai dan barat negara itu. – AFP