Tentera Myanmar rempuh pembantah, 3 cedera

YANGON, 5 DIS – Tentera Myanmar telah mencederakan sekurang-kurangnya tiga orang selepas merempuhkan sebuah kereta ke arah satu perhimpunan antikudeta yang aman di Yangon, saksi-saksi berkata hari ini.

Negara itu telah bergolak sejak Februari apabila tentera merampas kuasa, mencetuskan tunjuk perasaan seluruh negara yang cuba dihentikan junta dengan tindakan keras dan penahanan besar-besaran.

Lebih 10 bulan pemerintahan tentera telah menyaksikan kira-kira 1,300 orang terbunuh berhimpun membantah tentera tetapi bantahan kecil, sangat aktif masih diadakan.

Perhimpunan di Yangon itu disuraikan secara ganas pagi hari ini apabila sebuah kereta merempuhnya, menurut seorang wartawan di sana.

“Mereka menambah kelajuan apabila mendekati para pembantah, seperti
mereka memandu ke arah mereka,” katanya, enggan memberikan namanya demi keselamatan.

Katanya, sejumlah orang yang membawa kain rentang menyokong pemimpin awam Aung San Suu Kyi yang digulingkan, dilanggar dan jatuh ke tanah sementara yang lain melarikan
diri.

“Kemudian, tentera-tentera keluar dari kereta berkenaan dan mula melepaskan tembakan,” katanya.

Seorang pembantah kelihatan cedera teruk, kata seorang lagi saksi, dan dibawa oleh dua orang yang lain, salah seorang ialah wartawan Myanmar, menggunakan ambulans.

Tentera-tentera kemudian mula memukul tiga orang yang dilanggar kereta tersebut, seorang penduduk berusia 26 tahun berkata. – AFP

Para pembantah yang menyertai tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa tentera melarikan diri apabila pasukan keselamatan melancarkan tindakan keras terhadap bantahan di Yangon, semalam. – AFP