Tentera sekat kongres Venezuela

CARACAS, 15 Mei – Juan Guaido menuduh kerajaan Venezuela cuba “menyekat” kongres selepas anggota keselamatan menghalang penggubal undang-undang pembangkang daripada memasuki Perhimpunan Kebangsaan semalam, dua minggu selepas pemberontakan yang gagal oleh pemimpin pembangkang ke atas Presiden Nicolas Maduro.

Ahli majlis berkata anggota Pengawal Negara, yang menyediakan keselamatan untuk bangunan, bersama polis dan ejen risikan SEBIN menyekat kemasukan ke Perhimpunan Kebangsaan yang dikawal oleh pembangkang.

Tindakan tersebut diambil tatkala Amnesti Antarabangsa berkata ia percaya pihak berkuasa Venezuela telah melaku jenayah ke atas kemanusiaan dalam tindakan keras mereka terhadap bantahan anti-kerajaan, dan meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa supaya menyiasat.

“Ejen SEBIN, menggunakan alasan bahawa terdapatnya peranti letupan dalam bangunan lantas mengambil alih istana persekutuan. Kami dikepung oleh ejen risikan,” beritahu penggubal undang-undang Manuela Bolivar kepada AFP.

Guaido berkata anggota keselamatan menggunakan “kekerasan,” menambah kongres telah “dihuni oleh tentera.”

Beliau cuba menghasut satu pemberontakan ke atas Maduro pada 30 April tetapi hanya kira-kira 30 anggota angkatan bersenjata yang menyertai beliau, dan pemberontakan dengan segera dihentikan.

Bagaimanapun, ia mencetuskan pertempuran sengit di antara pembantah dan anggota keselamatan.

Semenjak itu, rejim Maduro telah menambah tekanan ke atas sekutu dan penyokong Guiado. – AFP

Penggubal undang-undang pembangkang Romel Edgardo Guzamana (kiri) dan rakannya Angel Torres, berdiri di depan Polis Nasional Venezuela Bolivia yang menyekat kemasukan ke kongres, di Caracas, Venezuela kelmarin. Anggota keselamatan telah dihantar ke kongres pada pagi Selasa, menyekat kemasukan ke dalam bangunan sebelum perdebatan dirancang diadakan di sana. – AP