Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Tentera Ukraine berundur dari pusat Severodonetsk

    KYIV, UKRAINE, 13 JUN – Ukraine menyatakan kelmarin bahawa tenteranya telah berundur dari pusat bandar timur Severodonetsk, di mana pertempuran dengan Rusia telah berlarutan selama berminggu-minggu.

    “Musuh, dengan bantuan artileri, menjalankan operasi serangan di bandar Severodonetsk yang sebahagiannya berjaya dengan mendesak unit kami keluar dari pusat bandar,” kata tentera Ukraine dalam laman Facebook.

    Sementara itu, pasukan pemisah yang disokong Moscow berkata, bandar itu telah ‘disekat’ dan menyeru tentera Ukraine untuk ‘menyerah’.

    “Severodonetsk secara hakikatnya telah disekat selepas mereka meletupkan jambatan terakhir semalam yang meng-hubungkannya dengan Lysychansk,” kata wakil pemberontak, Eduard Basurin kepada pemberita di Donetsk kelmarin.

    “Mereka mempunyai dua pilihan iaitu sama ada menyerah atau mati,” tambahnya.

    Seorang anggota tentera Ukraine berada di atas kenderaan perisai yang bergerak ke arah barisan hadapan di bandar Lysychansk pada 9 Jun 2022. – AFP

    Beliau juga berkata, tentera yang di-sokong Moscow sedang melakukan serangan ke atas bandar utama Slovyansk dari ”barat, utara dan timur”.

    Manakala itu, gabenor tempatan, Sergiy Gaiday mengakui bahawa “Rusia sebahagiannya berjaya pada waktu malam” di bandar itu.

    Beliau turut berkata tentera Moscow telah mengawal “lebih 70 peratus” bandar tersebut.

    Gaiday menambah, loji kimia Azot di mana tempat berteduh bagi orang awam yang berjumlah seramai 500 orang, termasuk 40 orang kanak-kanak, sedang “dibom dengan kuat” oleh tentera Rusia.

    “Kami cuba mengadakan rundingan koridor kemanusiaan bagi orang awam,” kata Gaiday dalam video berasingan di Telegram.

    Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa usaha itu buat masa ini tidak berjaya.

    Kelmarin Zelensky turut berkata, pertempuran terbaharu di Severodonetsk adalah ‘sangat sengit’, sambil menambah bahawa Rusia mengerahkan tentera yang tidak terlatih dan menggunakan orang mudanya sebagai ‘makanan meriam’.

    Penawanan Severodonetsk akan membuka jalan ke Moscow ke bandar utama lain, Kramatorsk, dalam langkah mereka ke arah menakluki seluruh Donbas. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...