Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tepati citarasa dan nikmati suasana santai

    Oleh Lenna N.B.

     

    TERKENAL dengan hidangan minuman yang membukit seakan-akan meleleh dari cawan kacanya. Cairan coklat menghiasi dengan biskut-biskut yang mewarnai. Ditambah lagi dengan krim istimewa di atas permukaannya menjadikan hidangan Take 5 Bn sangat istimewa ketika kita sedang bersantai-santai.

    Ciri tersebut jelas berjaya menarik perhatian wartawan Media Permata ketika mengunjungi Restoran Take 5 Bn yang terletak di Jalan Batu Bersurat, Gadong.

    Suasananya yang santai dengan beberapa pilihan hidangan yang biasanya kita nikmati ketika sedang bersantai bersama teman jelas memperlihatkan kelainan di sebalik kafe tersebut yang diusahakan oleh tiga orang belia tempatan, Awang Mohammad Firdaus bin Haji Zulkipli, 25, Hajah Nurhimmah binti Majuni, 25 dan Awang Aaron Damu Baring Anak Melayu, 25.

    Minat memasak

    Mengimbas kembali detik permulaan dalam bidang perniagaan itu, ketiga-tiga belia ini mengongsikan minat yang sama iaitu suka memasak.

    Sekitar suasana kafe Take 5 Bn yang santai.
    Sekitar suasana kafe Take 5 Bn yang santai.
    Memberikan layanan yang terbaik buat pengunjung Take 5 Bn.
    Memberikan layanan yang terbaik buat pengunjung Take 5 Bn.
    Ayam yang disalut sos barbeku dan madu, terasa manis hingga ke tulang antara hidangan yang popular di Take 5 Bn.
    Ayam yang disalut sos barbeku dan madu, terasa manis hingga ke tulang antara hidangan yang popular di Take 5 Bn.

    Menurut Awang Aaron, beliau sejak kecil lagi sudah mula gemar bedikari dengan memasak sendiri. Hidangan pertama yang dimasaknya adalah Nasi Goreng gaya Indonesia yang dipelajarinya daripada pembantu rumahnya dahulu. Sejak itu, Awang Aaron mula meneroka dan memasak pelbagai macam hidangan.

    Begitu juga, Awang Firdaus, pengasas dan pemilik Kafe Take 5 Bn, yang juga minat memasak di rumah. Atas minat yang sama itu, ketiga-tiga anak muda ini selalu meluangkan masa hujung minggu dengan memasak dan mencipta makanan sendiri.

    “Walaupun ketiga-tiga kami tidak mempunyai latar pendidikan yang berkaitan dengan bidang kulinari makanan atau masakan tetapi atas minat yang sama itulah, kami mempunyai wawasan yang sama untuk membuka sebuah restoran atau kafe,” ujar Awang Aaron, Pengurus Operasi Take 5 Bn.

    Idea asal penglibatan mereka dalam bidang perniagaan ini adalah daripada Awang Firdaus sendiri di mana beliau mendapat inspirasi dalam tahun 2013 daripada sebuah restoran di United Kingdom, yang menyajikan menu ayam sos barbeku sehingga ia menjadi makanan kesukaannya.

    Apabila kembali di Brunei, Awang Firdaus mula tercari-cari menu masakan ayam tersebut namun tidak ada satu pun yang menepati citarasanya, sehinggalah akhirnya dia mencipta sendiri masakan ayam kegemarannya. Malah, memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah.

    “Pada 1 Mei 2016, Take 5 Bn secara rasminya beroperasi di Batu Bersurat. Manakala perancangan sudah bermula dalam bulan Disember 2015. Saya dan Aaron adalah kru pertama yang diambil oleh Firdaus, di samping sebagai rakan kerjasama, kami untuk bergerak bersamanya untuk menjayakan kafe ini,” kata Hajah Nurhimmah, Pengurus Sumber Tenaga dan Akaun di restoran itu.

    Mengetengahkan konsep santai

    Istilah ‘Take 5’ atau ‘Take Five’ dalam Bahasa Inggeris adalah bererti rehat, santai atau beristirehat dalam masa lima minit. Dari istilah tersebut, Awang Firdaus mengentengahkan konsep santai di kafenya dengan lebih daripada 30 jenis hidangan makanan termasuk minuman atau pencuci mulut yang juga untuk dinikmati ketika bersantai-santai.

    “Sasaran pelanggan kami adalah pelajar-pelajar sekolah, mereka yang bekerja dan sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan tertekan kerana kami mahu Take 5 Bn menjadi lokasi untuk mereka melepaskan tekanan dengan menikmati hidangan kami dan suasana santai di sini.

    Oleh itu, hidangan kami bukan untuk makanan tengahari atau makanan malam seperti yang ada di restoran-restoran lain. Menu-menu yang ada semuanya berkonsepkan santai boleh dinikmati pada bila-bila waktu.”

    Hajah Nurhimmah, Pengurus Tenaga Kerja dan Akaun Take 5 Bn ketika ditemuramah.
    Hajah Nurhimmah, Pengurus Tenaga Kerja dan Akaun Take 5 Bn ketika ditemuramah.
    Bersantai petang di Take 5 Bn untuk melepaskan tekanan harian.
    Bersantai petang di Take 5 Bn untuk melepaskan tekanan harian.
    Take 5 Bn terletak di Batu Bersurat.
    Take 5 Bn terletak di Batu Bersurat.

    Menariknya, penampilan hidangan dipersembahkan dengan gaya yang penuh kreatif, setentunya tidak dapat menolak keinginan kita untuk menangkap gambar keindahan seni kulinari hidangan tersebut.

    Penampilan setiap hidangan di Take 5 Bn juga amat dititikberatkan kerana setiap hidangan yang dinikmati akan dihayati oleh pandangan mata terlebih dahulu.

    “Sebelum hidangan itu masuk ke mulut, mata dahulu menikmatinya. Di situlah kami mendapat inspirasi untuk sentiasa melakukan persembahan yang terbaik selain menepati cita rasa yang diinginkan oleh pelanggan. Ini juga yang dimahukan oleh Firdaus, pemilik kafe ini dalam setiap hidangan Take 5 Bn.

    Beliau tertarik dengan variasi bentuk dan persembahan makanan yang dimuatnaik di Instagram seolah-olah makanan itu menjadi kanvas yang dicorak indah.

    Oleh itu, dengan mementingkan soal persembahan hidangan, kami juga mendorong pelanggan kami untuk merakam foto dan memuatnaik ke media sosial di mana keistimewaan Take 5 Bn dapat dikongsikan oleh sesiapa sahaja.

    Kegemaran sepanjang masa

    Ayam sayap adalah antara hidangan yang menjadi kegemaran kita ketika sedang bersantai-santai dan itu juga termasuk dalam senarai hidangan Take 5 Bn yang popular dengan enam pilihan sos istimewa serta pilihan rasa pedas atau biasa.

    Menurut Awang Aaron, sos yang agak terkenal adalah sos Honey BBQ yang mengabungkan rasa barbeku dan madu sehingga kemanisan daging ayam tersebut dapat dirasai hingga ke tulang.

    Selain itu, Burger ‘The MVB’ juga turut menarik perhatian Take 5 Bn yang mempunyai dua keping pati burger ayam, diserikan dengan daun salad yang segar, sepotong kepingan daging yang halus serta keju dan sos yang meleleh menjadikan burger tersebut kelihatan cukup mengiurkan.

    Sementara pencuci mulut atau minuman yang menjadi kegemaran pelanggan Take 5 Bn pula adalah Nuttela Crumble yang menggabungkan rasa coklat Nutella dan biskut coklat.

    “Kebanyakan hidangan kami adalah berdasarkan kajian terhadap citarasa kebanyakan orang Brunei, terutama apa yang mereka suka nikmati ketika bersantai.

    Ayam yang disalut sos barbeku dan madu, terasa manis hingga ke tulang antara hidangan yang popular di Take 5 Bn.
    Ayam yang disalut sos barbeku dan madu, terasa manis hingga ke tulang antara hidangan yang popular di Take 5 Bn.
    Keistimewaan minuman dengan sajian pencuci mulut ais krim.
    Keistimewaan minuman dengan sajian pencuci mulut ais krim.
    Burger ‘The MVB’ yang merangkumi dua keping inti burger ayam, daun salad yang segar, sepotong kepingan daging yang halus serta keju dan sos yang meleleh.
    Burger ‘The MVB’ yang merangkumi dua keping inti burger ayam, daun salad yang segar, sepotong kepingan daging yang halus serta keju dan sos yang meleleh.
    Ayam yang disalut dengan sos khas Take 5 Bn.
    Ayam yang disalut dengan sos khas Take 5 Bn.

    “Begitu juga dengan hidangan minuman kami yang berasaskan coklat kerana melihat kepada kebanyakan pelanggan tidak kira lelaki dan perempuan memang gemar menikmati coklat di waktu terluang,” tambah Hajah Nurhimmah.

    “Apa yang kami dapat jaminkan adalah menghidangkan makanan yang berkualiti dan segar daripada pembekal kitani di samping mendukung usahawan-usahawan tempatan dalam industri ini,” ujar Awang Aaron.

    Sejak kali pertama Take 5 Bn mula beroperasi sehingga ke hari ini, seramai 15,000 orang pelanggan telah direkodkan masuk untuk duduk bersantai di kafe tersebut yang bukan sahaja dari kalangan pelanggan yang bekerja tetapi juga remaja dan kanak-kanak di mana ia jelas menunjukkan Take 5 Bn berjaya membentuk peminat hidangan mereka di industri perniagaan makanan ini.

    Aspirasi belia

    Disebalik hidangan dan kafe Take 5 Bn yang berkonsepkan santai, terselit aspirasi belia yang berani mengambil langkah masuk ke dunia perniagaan.

    Awang Aaron dan Nurhimmah walaupun mempunyai latar pendidikan yang tinggi, tetapi mereka memilih untuk bekerja di industri pemakanan, sesuatu yang tidak berkaitan dengan pengajian mereka.

    Bagi mereka, langkah tersebut adalah bagi memperluaskan lagi ruang pekerjaan, mendapatkan pendapatan melalui perniagaan, serta sebagai langkah berani keluar daripada zon selesa.

    “Pada mulanya memang banyak percubaan dan kegagalan tetapi di sanalah kami belajar. Begitu juga kami berharap belia-belia kita yang lain untuk mula melangkah dalam dunia usahawan walau dengan model yang sangat kecil sekalipun. Apa tah lagi ruang pekerjaan kini jelas amat terbatas, di situ peranan kita untuk membuka peluang mencari pendapatan sendiri,” Jelas Hajah Nurhimmah.

    “Jangan tunggu tetapi segera lakukan sesuatu untuk berjaya dan satu-satunya jalan adalah lakukan apa yang anda suka, bukan kerana orang lain,” tambah Awang Aaron mengakhiri temuramah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda