TAWAU, 27 Ogos – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengingatkan pemimpin koperasi agar meneraju organisasi mereka dengan jujur, ikhlas dan cekap bagi memastikan koperasi masing-masing terus berdaya saing dan kekal kompetitif dalam menjana keuntungan.
Katanya jatuh bangun sesebuah koperasi berkait rapat dengan tadbir urus yang berlandaskan prinsip-prinsip terbabit.
“Mana-mana koperasi besar, kalau pengurusnya tidak ikhlas, tidak jujur mengendalikannya maka koperasi itu sama ada akan jatuh atau bermasalah, tetapi kalau ada koperasi kecil tetapi pengurusnya bersikap jujur dan tidak mustahil koperasinya akan maju berkembang,” katanya ketika merasmikan Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.
Pada masa sama Musa berkata usaha memupuk kesedaran berkoperasi perlu ditingkatkan supaya gerakan koperasi di Sabah menjadi antara pemangkin kepada penduduk setempat meningkatkan taraf sosioekonomi.
Beliau juga berkata kerajaan negeri komited membantu kerajaan persekutuan dalam menyokong pembangunan koperasi melalui pembangunan modal insan yang kompeten dan berkualiti.
“Komitmen ini dibuktikan menerusi pembinaan sebuah kompleks latihan yang dikenali sebagai Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi di Kinarut, Papar yang dibangunkan di atas tanah seluas 15 ekar yang disediakan kerajaan negeri.
“Hasilnya pembukaan pusat ini, sebanyak 13,000 anggota dan pegawai koperasi berjaya dilatih dalam pelbagai bidang pengurusan koperasi,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Jamil Salleh berkata gerakan koperasi negara mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan 13,428 koperasi berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan 7.7 juta orang setakat Disember 2016.
Keseluruhannya, gerakan koperasi negara mencatatkan modal syer dan yuran sebanyak RM13.99 bilion manakala aset serta perolehan koperasi masing-masing bernilai RM130.74 bilion dan RM39.66 bilion, katanya.
“Berdasarkan maklumat ini gerakan koperasi merupakan antara penyumbang terbesar kepada pembangunan sosioekonomi negara di samping berupaya menangani kos sara hidup masyarakat,” katanya lagi. – Bernama