Terap adab dan etika semasa penggunaan Tiktok

Oleh Nurdiyanah R.

Seiring berkembangnya zaman, teknologi informasi dan teknologi turut mengalami perubahan yang ketara di mana antaranya dapat dilihat melalui perkembangan media sosial.

Sebut sahaja tentang TikTok, Whatsapp, Facebook, Twitter dan Instagram pastinya ia bukanlah sesuatu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat di dunia ini. Sebagaimana aplikasi TikTok boleh dikatakan antara platform media sosial yang begitu popular masa kini, bukan sahaja di kalangan generasi muda dan orang dewasa malah kanak-kanak.

Pada awalnya, aplikasi TikTok dikenali sebagai ‘Douyin’ yang bermaksud video pendek dan apabila ia semakin popular, barulah menggunakan tanda nama yang ada pada masa sekarang.

Aplikasi ini boleh digunakan secara percuma yang meliputi kemudahan dari segi kemudahan tontonan pelbagai kandungan video dan halaman ‘For You’ juga disediakan bagi setiap pengguna sehingga membolehkan mereka mengikuti, memberi komen dan menyukai setiap video.

Pengguna juga berpeluang untuk memuat naik video mahu pun menghasilkan koleksi video berkisar idea dan juga kreativiti peribadi seseorang yang berdurasi di antara 15 saat hingga tiga minit dengan dimeriahkan lagi ciri muzik dan efek video.

Aplikasi TikTok banyak menyediakan maklumat yang meliputi hal ehwal aspek kehidupan seharian, justeru sebagai pengguna tidak terlepas daripada menerima implikasi positif dan negatifnya.
Dayang Siti Nor Izuana semasa menyampaikan sesi webinar Let’s Talk TikTok menerusi Zoom Meeting di bawah sokongan BruCERT, baru-baru ini.
Terdapat beberapa jenis buli siber yang dapat dikategorikan kepada aspek gangguan, denigrasi, cari gaduh, penyamaran, khabar angin dan tipu serta mengintai.

Kongsi kesedaran ‘Let’s Talk TikTok’

Pastinya, ketika masyarakat mengikuti arus perkembangan rangkaian media sosial termasuk TikTok, banyak menyediakan maklumat yang meliputi hal ehwal aspek kehidupan seharian. Kita sebagai pengguna juga tidak terlepas daripada menerima implikasi positif dan negatifnya. Hakikatnya penggunaannya akan diakhiri dengan implikasi negatif jika ia tidak dikawal sebaiknya sehingga boleh melewati batasan-batasan agama Islam.

“Aplikasi TikTok sudah menjadi trend di sana sini termasuklah kalangan masyarakat di negara kita meliputi semua peringkat usia. Cuma apa yang perlu ditekankan ialah sejauh mana aplikasi ini selamat untuk golongan kanak-kanak memandangkan ia tidak mempunyai batas sempadan dan sesiapa sahaja bebas untuk melihat apa yang dimuatkan dalam aplikasi tersebut tanpa sebarang sekatan.

“Oleh itu, bagi memastikan penggunaan mereka dalam bertiktok tidak disalah guna mahu pun terheret ke lembah isu-isu jenayah siber maka kewaspadaan para ibu bapa atau penjaga untuk sentiasa memantau segala gerak-geri anak-anak mereka adalah amat mustahak,” itulah antara yang ditekankan oleh Pegawai Pemasaran dan Kesedaran Keselamatan Siber, Cyber Security Brunei (CSB), Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob semasa menyampaikan sesi webinar Let’s Talk TikTok menerusi Zoom Meeting di bawah sokongan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), baru-baru ini.

Semasa sesi webinar yang disertai oleh lebih 60 orang peserta itu, beliau turut berkongsi antara langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam usaha bagi memastikan aplikasi berkenaan selamat digunakan untuk seisi keluarga ialah dengan sentiasa menjadikan akaun kepada private iaitu dengan menekan profil dan simbol tiga baris di bahagian atas kemudian tekan privacy. Selain itu, para pengguna juga mestilah memiliki kata laluan yang kukuh dan kuat.

“Begitu penting untuk menjadikan akaun awda private kerana ia mampu mengawal segala kandungan peribadi seperti salah satunya agar tidak disiar semula (repost) oleh orang-orang yang tidak dikenali. Begitu juga, para pengguna perlu menetapkan penapisan komen-komen yang tidak bersesuaian untuk lebih memanfaatkan penggunaannya ke arah nilai-nilai positif.

“Dalam pada itu, para ibu bapa atau penjaga juga dapat memantau kegiatan anak-anak mereka ketika menggunakan aplikasi ity menerusi penetapan kepada kaedah family pairing yang tersedia dalam bahagian privacy,” tekannya lagi.

Tangani bersama buli siber

Apabila ditanya mengenai ciri-ciri buli siber dalam penggunaan rangkaian media sosial termasuklah aplikasi ini, Dayang Siti Nor Izuana menyatakan terdapat beberapa jenis buli siber yang dapat dikategorikan kepada aspek gangguan, denigrasi, cari gaduh, penyamaran, khabar angin dan tipu serta mengintai.

Jelasnya, gangguan itu merujuk kepada perbuatan seseorang yang berulang kali menghantar mesej yang menyinggung perasaan, biadap dan menghina kepada pengguna yang disasarkan.

Manakala denigrasi ialah seseorang yang mengedarkan maklumat tentang orang lain dengan adanya perbuatan menghina dan tidak benar melalui menyiarkannya pada halaman web, atau menghantarnya kepada orang lain melalui e-mel atau mesej segera, mahu pun dari segi menyiarkan atau menghantar foto seseorang yang diubah suai secara digital.

Cari gaduh pula merujuk kepada bergaduh dalam talian menggunakan mesej elektronik dengan bahasa kesat dan marah, begitu juga penyamaran berlaku apabila seseorang yang memecah masuk e-mel atau akaun rangkaian media sosial dan menggunakan identiti seseorang yang dalam talian yang disasarkan bagi tujuan menghantar atau menyiarkan bahan kejam atau memalukan orang berkenaan.

Bagi khabar angin dan tipu juga bermaksud seseorang telah berkongsi rahsia atau maklumat yang memalukan seseorang, atau menipu seseorang untuk mendedahkan rahsia atau maklumat yang memalukan dengan menghantarkan kepada orang lain.

Perbuatan menghantar mesej berulang kali yang termasuk ancaman bahaya atau sangat menakutkan, atau terlibat dalam aktiviti dalam talian lain yang membuat seseorang takut untuk keselamatannya itu dikategorikan kepada mengintai dalam siber.

“Jika isu jenayah siber seperti buli siber itu terjadi maka antara langkah yang perlu kita sebagai pengguna lakukan ialah dengan tidak membalas si pembuli tersebut dan simpan tangkapan layar sebagai bahan bukti. Kemudian laporkan profil si pembuli ke bahagian media sosial yang digunakan dan block. Diikuti pula dengan melaporkan isu berkenaan kepada pihak polis,” tekannya lagi.

Meningkatnya peratusan pengguna media sosial

Di samping itu, Dayang Siti Nor Izuana turut berkongsi bahawa berdasarkan Global Digital Overview 2021 oleh We Are Social and Hootsuite, antara 2020 dan Januari 2021, penggunaan rangkaian media sosial di negara ini meningkat dalam 30,000 iaitu sebanyak 95 peratus pada 2020 tetapi pada tahun ini menjadi 99 peratus pengguna media sosial.

Tambahnya, meskipun statistik berkenaan tidak menyebut tentang penggunaan TikTok akan tetapi, penggunaan TikTok di negara ini amat ketara. Pada tahun ini pihak BruCERT ada menerima banyak aduan mengenai aplikasi itu berbanding pada tahun lain.

“Berbicara mengenai impak penggunaan TikTok ini, ia tertakluk kepada setiap individu.

“Jika seseorang menggunakannya dengan berhemat dan selamat, maka ia akan memberikan impak dan kesan yang positif seperti menjadikannya platform sebagai medium komunikasi untuk menyampaikan sesuatu maklumat antaranya berkongsi resipi makanan ataupun ada yang menggunakannya sebagai platform untuk pembelajaran,” tambahnya.