Terap akhlak mulia dalam pelancongan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Tazkirah subuh pada Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, minggu ini, menyentuh mengenai ciri-ciri Islam yang perlu diterapkan dalam pelancongan iaitu akhlak yang mulia, khususnya mana-mana agensi yang sentiasa terlibat dengan pelancongan.

Pengasas Bersama Al-Minhaaj Centre dan Dai’e Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak dalam tazkirahnya menjelaskan, antara akhlak mulia itu ialah mengelakkan melakukan rasuah, sebagai contoh, pekerja-pekerja di lapangan terbang hendaklah melakukan kerja dengan jujur dan amanah.

“Jangan disebabkan kuasa yang ada padanya, ia mengambil peluang untuk melakukan rasuah,” tegas beliau.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program minggu ini ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B), Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pemangku Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Awang Abdul Rahman dalam tazkirahnya itu turut menekankan antara etika Islam lain yang perlu diterapkan dalam pelancongan termasuklah sentiasa memberi penghormatan dan layanan yang baik kepada pelancong, antaranya menyapa dengan memberi salam penghormatan, mengukirkan senyuman, bersalaman dan memberikan kata-kata yang baik serta tidak bersikap ‘pilih bulu’.

“Kita diharuskan bersikap jujur, khususnya kepada pemandu teksi atau sebagainya kerana pelancong tidak mengetahui jalan menuju kesesuatu tempat, maka pemandu teksi membawa pelancong melalui jalan yang jauh, walhal tempat yang dituju adalah sangat dekat,” ujar beliau lagi tazkirah bertajuk ‘Menerapkan Ciri-ciri Islam dalam Pembangunan Pelancongan’.

Satu lagi akhlak mulia yang ditekankan beliau adalah sentiasa menunjukkan sikap yang baik dan lemah lembut, bukan sikap kasar dalam percakapan dan tingkah laku dan banyak lagi.

Menteri-menteri kabinet semasa mendengarkan tazkirah subuh bertajuk Menerapkan Ciri-ciri Islam dalam Pembangunan Pelancongan.