Terap kemahiran menulis dari kecil

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Kemahiran menulis merupakan keupayaan intelek yang perlu dibentuk dan diterapkan dengan baik sejak kecil lagi bak kata pepatah ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Oleh itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menjalankan beberapa bentuk program bengkel sebagai bentuk dorongan, sokongan dan bimbingan kepada penulis-penulis cilik terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja bagi menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Ketua Bahagian Sastera dan Majalah DBP, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin turut memaklumkan bahawa pada tahun depan, DBP akan melaksanakan Akademi Penulis: Kelab Penulis Kanak-kanak yang bertujuan untuk membimbing para pelajar yang berminat dalam bidang penulisan khususnya karangan dan puisi.

Dengan adanya bimbingan tersebut, para pelajar akan dapat memperolehi ilmu baharu dan seterusnya dapat menyumbangkan hasil penulisan untuk diterbitkan dalam majalah terbitan DBP dan beliau berharap agar para pelajar berminat untuk turut serta dalam akademi penulisan itu.

Dr Haji Mohd Ali menekankan perkara berkenaan semasa menyampaikan ucapan selaku pengerusi Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Karangan Majalah Naindung, Mekar, Juara Pelajar DBP 2020 yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Pemangku pengarah DBP menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.

Hadir selaku tetamu khas bagi menyempurnakan penyampaian hadiah pa-da majlis itu ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Majlis menyaksikan tempat pertama bagi Kategori A (Majalah Mekar) dimenangi oleh Awang Muhammad Izzul Musyaffa bin Shirul Alimen dari Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong.

Kategori B (Majalah Juara Pelajar) dijuarai oleh Awang Srinazrul Haziq bin Srinarawie dari Sekolah Menengah Tanjong Maya. Tempat pertama Kategori C (Majalah Juara Pelajar) pula dimenangi oleh Dayang Nur Farahiyah Athirah binti Haji Mohd Ali Hassan dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan .

Manakala itu, Kategori D (Majalah Naindung) dijuarai oleh Dayang Srinazleeza Haziimatul binti Srinarawie dari Sekolah Ugama Bukit Udal, Tutong.

Selain tiga pemenang teratas, tiga peserta dari setiap kategori lain turut menerima hadiah sagu hati pada majlis berkenaan.

Para pemenang menerima hadiah penghargaan berupa wang tunai, plak, sijil dan majalah berjilid (Naindung, Mekar dan Juara Pelajar).

Menurut kenyataan yang diberikan, Majalah Naindung, Mekar dan Juara Pelajar merupakan majalah kanak-kanak dan remaja yang diterbitkan oleh DBP sebagai wadah utama dalam memotivasikan dan mendorong penulis kanak-kanak dan remaja untuk menghasilkan karya-karya berkualiti.

Bagi memupuk semangat untuk berkarya melalui penulisan, selain mengasah bakat yang sedia ada, DBP telah menganjurkan Peraduan Menulis Karangan Majalah Mekar, Juara, Pelajar sejak 1984 dan kini ia memasuki tahun ke-36.

Selain penyertaan sekolah rendah dan menengah, pada tahun ini, peraduan dimeriahkan lagi dengan pertambahan kategori D, yang dikhususkan bagi pelajar-pelajar sekolah agama darjah 2 hingga darjah 4 dengan menggunakan format tulisan Jawi.

Majlis penyampaian hadiah turut dimeriahkan dengan persembahan Bicara Berirama dan Mari Bercerita oleh penuntut-penuntut dari Sekolah Arab Rimba.

Selain penyampaian hadiah dan cenderamata peraduan menulis, majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan bagi penjualan majalah terlaris.